Isnin, Julai 12, 2010

'Pastikan beri maklumat betul semasa bancian dibuat'

Orang ramai yang memberi maklumat palsu dan tidak tepat serta enggan menjawab dengan benar ketika Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 dijalankan, boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Banci 1960.

Jabatan Perangkaan menyebut, menjadi kesalahan jika ada yang enggan memberi akses kepada pegawai banci untuk memasuki rumah, tanah, kepungan dan pengangkutan air, membuang atau merosakkan tanda atau nombor yang ditampal bagi maksud banci sebelum tempoh 12 bulan dari tarikh pembancian.

Mengikut akta berkenaan, jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh didenda tidak lebih RM100 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Jadi, kerjasama orang ramai kepada pembanci yang datang ke kediaman untuk menjalankan pembancian diperlukan dan pastikan maklumat yang dibekalkan betul dan tepat kerana maklumat itu akan diguna dalam perancangan pembangunan bagi tujuan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan jabatan berkenaan, di sini, semalam.

Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2010 membabitkan 30,000 pembanci dan penyelia bertujuan mengenal pasti 2.4 juta atau 40 peratus isi rumah berpendapatan paling rendah, selain mengetahui bilangan penduduk Malaysia ketika ini dan jangkaan masa depan, sekali gus berupaya menyediakan perancangan kemudahan untuk rakyat.

Program banci penduduk bermula 6 Julai hingga 22 Ogos itu menggunakan tiga kaedah iaitu temu ramah secara bersemuka, drop-off and pick-up (DOPU) dan secara dalam talian e-Census di laman web www.statistics.gov.my.

Bancian kali ini juga buat pertama kalinya mengadakan bancian membabitkan golongan tidak mempunyai rumah di beberapa lokasi terpilih yang dikenal pasti sebagai tempat tidur golongan terbabit di sekitar ibu negara bagi memastikan jumlah sebenar golongan berkenaan.

Selain itu, katanya, sesiapa yang menyamar sebagai pegawai banci juga melakukan kesalahan dan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

“Orang ramai diingatkan supaya memastikan pembanci mempunyai kad pengenalan pembanci yang lengkap dengan nombor siri unik, ditandatangani Penolong Pesuruhjaya dan mempunyai cap rasmi jabatan,” katanya.

Jabatan itu juga memberi jaminan akses data yang diambil pembanci daripada responden tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak kecuali sebarang data secara agregate yang hanya boleh dibuat Pesuruhjaya Banci.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts