Aisyah lebih selesa mengacara


Kepetahan berbahasa Mandarin membuatkan finalis rancangan realiti televisyen, Gadis Melayu musim pertama, Nur Aisyah Zainal, 25, menjadi tumpuan.

Mungkin ada yang beranggapan menjadi peserta rancangan itu menjadi batu loncatan baginya untuk menceburi bidang seni seperti rakan lain.

Namun bagi gadis kelahiran Alor Gajah, Melaka ini, tidak pernah terlintas di hati untuk menjadi anak seni kerana dia lebih selesa terbabit dalam bidang pengacaraan majlis.


Katanya, memiliki kebolehan bertutur dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin memberi kelebihan kepadanya untuk berinteraksi dengan audiens.

"Sejak kecil saya berminat dengan bahasa Mandarin sehingga mendorong ibu menghantar saya belajar di sekolah aliran Cina dari darjah satu hingga tingkatan lima.

"Bagi saya, tidak rugi jika mahir lebih daripada satu bahasa kerana ia satu bonus bagi memudahkan kita berkomunikasi dengan pelbagai bangsa," katanya yang memegang jawatan koordinator majlis di sebuah syarikat pengurusan majlis di Kuala Lumpur.

Kerana kelebihan itu, dia sering diundang menjadi pengacara bagi majlis korporat di sekitar ibu negara.

Tambahnya, tidak sukar baginya melakukan tugas demikian kerana sejak dulu dia meminati bidang berkenaan dan aktif menjadi pengacara ketika di universiti.

Dalam masa sama, Aisyah mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dan sebagai permulaan dia membuka sebuah kiosk minuman, A&A Bubbleboy di Sooka Sentral.

"Sejak dulu saya gemar minum air 'bubble tea' dan kebanyakan yang menjualnya adalah peniaga bukan Islam. Dari situ saya mendapat idea untuk membuka kiosk minuman ini.

"Sejak itu saya mencari peluang membuka kiosk ini dan mendapatkan pembekal yang boleh bekerjasama dengan saya," katanya.

Kiosk yang dibuka mulai jam 9 pagi hingga 6 petang itu mula beroperasi sejak awal bulan ini dan sambutan diterima menggalakkan.

Katanya, dia menawarkan pelbagai jenis perisa minuman untuk pilihan pelanggannya dengan harga serendah RM2.80.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Aisyah berhasrat membuka sebuah syarikat penerbitan dan jika diberi peluang dia mahu menerbitkan sebuah rancangan berkonsepkan pelajaran dan hiburan (edutainment).

PROFIL
NAMA: Nur Aisyah Zainal
UMUR: 25 tahun
ASAL: Alor Gajah, Melaka
KELUARGA: Keempat daripada lapan beradik
PENDIDIKAN: Mengikuti pembelajaran jarak jauh Ijazah Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Diploma Insurans UiTM Melaka
PENCAPAIAN: Peserta rancangan Gadis Melayu musim pertama

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url