Catatan Cheng Ho buktikan Chetti wujud sejak Kesultanan Melayu Melaka

Oleh Azrul Affandi Sobry

Proses asimilasi yang berlaku di kalangan pedagang dari Pantai Koromondal, Selatan India dengan wanita tempatan di Melaka dikatakan menjadi penyebab utama wujud kaum Chetti Melaka sehingga hari ini. Kewujudan masyarakat ini melalui proses panjang dan sukar dinyatakan dengan jelas, lantaran wujud pelbagai kemungkinan dari pelbagai kajian yang pernah dibuat.

Ada bukti menunjukkan masyarakat ini sudah terbentuk sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, malah ada yang mengatakan mereka sudah ada di Melaka sebelum Laksamana Cheng Ho menjejakkan kaki ke bumi bersejarah itu.

Catatan Cheng Ho menceritakan sebilangan orang Keling di Melaka ketika itu dan menurut beberapa pengkaji masyarakat Chetti Melaka, K Narayanasamy, hanya orang India dari Selatan yang berhijrah menjalankan urusan di Melaka ketika itu dan ia menguatkan hujah mengenai kewujudan Chetti Melaka disebabkan perkahwinan dengan orang tempatan.

Katanya, masyarakat Chetti wujud lebih awal iaitu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila ketika itu, seorang Bendahara Melaka yang dilantik selepas kemasukan Portugis berketurunan Chitty iaitu Naina Chetu, yang dikatakan terbabit membantu Portugis untuk menawan Melaka.

“Ia menguatkan hujah mengenai kewujudan masyarakat itu sebelum kemasukan Portugis. Mustahil mereka wujud selepas kemasukan Portugis kerana Portugis mempunyai dasar tidak membenarkan orang luar menjalankan perniagaan kerana mereka sendiri mahu memonopoli aktiviti itu.
“Semua itu tidak disokong bukti bertulis, cuma dalam sejarah Melayu ada tertulis mengenai Tanjung Keling yang sekali gus membuktikan masyarakat dari Selatan India sudah ada di Melaka sejak begitu lama.

“Apapun, fakta mengenai kewujudan masyarakat itu hanya ada ketika zaman Belanda apabila mereka diberikan geran bagi pembinaan kuil di Kampung Keling.

“Pembinaan kuil di situ menjadi bukti mereka adalah penduduk lama di Melaka kerana agak mustahil untuk orang luar mendapat tanah secara sah di kawasan pesat membangun di tengah bandar Melaka (kini di Jalan Tukang Emas). Pasti mereka sebagai penduduk lama di situ memberi tekanan kepada Belanda untuk mendapat hak mereka,” katanya.

Atas saranan Gabenor Bort pada zaman pendudukan Belanda, masyarakat itu mendapat satu tapak di Jalan Tukang Emas dengan geran rasmi Belanda dikeluarkan pada 1781 untuk didirikan Kuil Sri Poyyatha Vinayagar, bersebelahan masjid dibina masyarakat Keling Islam. Di atas geran, masyarakat dirujuk sebagai Chitty, meskipun penghijrahan mereka ke Melaka membabitkan 10 kasta, tetapi kedudukan Chitty dianggap sangat tinggi terutama dalam hal berkaitan ekonomi dan dikatakan hampir semua perusahaan tempatan diketuai mereka.

Kasta lain dipercayai dibawa bersama Chitty untuk membantu mereka kerana ada antara mereka lebih mahir dalam hal lain termasuk sebagai penjaga kuil seperti kasta Pandaram.

Pengaruh kaum Chitty ini juga dapat dilihat daripada ketua masyarakat Chetti, berdasarkan gambar di Muzium Chetti jelas menunjukkan Thevanagam Chitty menjadi ketua kaum itu sebelum mati pada 1902.

Menyorot sejarah pendudukan Chetti Melaka di Bandar Raya Bersejarah itu, mereka ialah pedagang India yang memainkan peranan penting dalam perdagangan antarabangsa sejak pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-15 Masihi. Istilah Chitty ialah gelaran masyarakat berasal daripada perkataan Sresthi atau dalam bahasa Sanskrit bermaksud orang kaya atau pedagang.

Pedagang yang berasal dari Kalinga Partanam atau Benua Keling ke Melaka dalam sekumpulan lelaki kerana adat Hindu melarang perempuan menyeberangi laut.

Oleh itu, ramai mereka berkahwin dengan wanita tempatan dan memulakan keluarga di Melaka, sekali gus menjadi punca pembentukan masyarakat itu sebagai minoriti. Ia diperkuatkan lagi dengan kedudukan ekonomi kukuh masyarakat itu yang menjadi tarikan utama orang tempatan mengahwini mereka.

Peraturan ketika itu membolehkan perkahwinan campur antara agama. Namun, pedagang Kalinga begitu kuat berpegang kepada agama Hindu selepas berkahwin. Ia tidak menjadi masalah kepada wanita tempatan kerana ketika itu, budaya serta cara hidup Hindu dan orang Melayu begitu dekat, malah ramai juga orang Islam pada awalnya beragama Hindu.

Dalam keluarga, agama Hindu ditekankan, namun cara hidup dan bahasa lebih terarah pada kehidupan Melayu kerana anak lebih dekat dengan ibu, sekali gus mewujudkan generasi yang berbahasa Melayu, mengamalkan cara hidup Melayu tetapi kuat berpegang kepada agama Hindu.

Selepas berlaku perkahwinan campur, konflik mula timbul apabila lelaki Keling sukar membawa balik isteri warga tempatan ke negara asal kerana mereka dianggap terkeluar kasta dan tidak boleh diterima masyarakat.

“Mereka bimbang, jika bawa balik isteri ke India, wanita itu mungkin ditindas kerana bukan kasta mereka. Di kalangan orang India lain pula, masyarakat ini juga kurang disenangi kerana dianggap bukan satu kasta. Oleh itu, orang India tidak mahu rapat dengan masyarakat Chetti, kononnya khuatir anak mereka terikut budaya komuniti itu.

“Justeru, mereka terus menetap di Melaka atau jika mahu pulang ke India, keluarga perlu ditinggalkan di sini. Itulah sebabnya masyarakat Chetti Melaka terus berkembang sehingga sekarang dan ada banyak tanah kuil di sini,” kata Narayanasamy.

Kegiatan ekonomi mereka sebagai pedagang mula merosot selepas kedatangan Belanda kerana berlaku sekatan termasuk menghalang peniaga menjalankan pelbagai perniagaan. Membenarkan satu jenis barang diniagakan menyebabkan tidak ramai peniaga Chetti mampu bertahan. Akhirnya mereka menjadi petani. Ia juga penyebab ramai tidak mampu tinggal di Kampung Keling dan berpindah ke Tengkera, Bacang dan Gajah Berang.

Ketika zaman British pula, masyarakat ini mula bekerja makan gaji dan ia kekal sebagai cara hidup utama hingga kini. Tanah pertanian tidak lagi diusahakan, namun masih ada bukti jelas penempatan mereka di situ kerana ada kuil di kebanyakan kawasan dihuni mereka.

Meskipun Chetti Melaka diberi geran di Kuil Sri Poyyatha Vinayagar, apabila mereka pindah ke Gajah Berang, satu perjanjian dibuat sejak zaman British bahawa hak penjagaan kuil itu diserahkan masyarakat Chettiar.

Menurut K Narayanasamy, masyarakat Chettiar pernah memohon untuk mendirikan sebuah lagi kuil tetapi tidak mendapat kelulusan pemerintah British kerana sudah ada Kuil Sri Poyyatha Vinayagar, namun keengganan masyarakat itu untuk berkongsi menyebabkan berlaku perjanjian persefahaman antara mereka.

“Perjanjian itu membolehkan masyarakat Chettiar menjaga kuil dan digunakan sepenuhnya tetapi di atas geran, ia masih milik masyarakat Chetti. Keadaan itu menjadikan tiada lagi sebarang perayaan khusus masyarakat Chetthi dapat dijalankan di situ.

“Sebenarnya banyak kawasan tanah masyarakat Chetti disewakan kepada orang lain terutama masyarakat Cina kerana pelbagai sebab termasuk masalah kewangan ketika menerima tekanan Belanda.

“Lebih teruk lagi, banyak tanah yang disewakan dengan kadar RM1 sebulan sehingga kini. Jika dikumpul dan dihitung, sebenarnya masyarakat ini mempunyai banyak tanah di Melaka,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url