Media Jerman 'lambung' skuad Loew

BERLIN: Akhbar Jerman semalam memuji skuad kebangsaan kerana mampu bangkit dan menewaskan Uruguay 3-2 dalam perebutan tempatan ketiga Piala Dunia dan kerana mengembalikan maruah patriotisme yang hampir menyamai ketika menjadi tuan rumah 2006.

Ramai pengulas menekankan bahawa barisan muda Jerman itu mempunyai masa depan yang cerah selepas kejayaan menewaskan England dan Argentina dengan corak permainan yang menarik sebelum tewas kepada Sepanyol di separuh akhir.

Mereka turut melahirkan kepuasan kerana buat kali kedua berturut-turut, skuad Jerman memenangi pingat ‘gangsa’ dan kedudukan tempat ketiga yang ketiga selepas tewas di final kepada Brazil pada 2002.

“Terima kasih kerana memberikan Jerman sambutan Piala Dunia yang terakhir,” tulis Bild am Sonntag. “Betapa menariknya musim panas Piala Dunia ini. Joachim Loew menghimpunkan sebuah pasukan yang menarik imaginasi seluruh Jerman.”

Miriam Nyary menulis pasukan itu memberikan sesuatu yang istimewa – maruah komuniti pendatang di negara itu kerana barisan Jerman kali ini membariskan pemain pelbagai warna kulit.

“Anda mencipta sesuatu yang ajaib di atas padang dan membuatkan kami seronok menyaksikannya di stadium dan televisyen. Dari minit pertama, anda mengagumkan kami dan membuatkan kami menggigil, menangis dan bersorak keriangan.”

Akhbar Sueddeutsche Zeitung di Munich menulis Jerman bernasib baik dapat menewaskan Uruguay dalam perlawanan itu.

“Jerman menang dalam perlawanan menarik menentang Uruguay untuk tempat ketiga tetapi pasukan ini kelihatan seperti kumpulan rock yang ghairah di peringkat awal dan bergelut di penghujung konsert.

“Namun ia masih mampu menjanjikan sesuatu untuk masa depan – sesuatu yang mampu memenangi perlawanan besar.”

'Cerah masa depan Jerman'

Pemain tengah Bastian Schweinsteiger berkata, kemunculan ramai bintang muda Jerman yang menduduki tangga ketiga semalam, membawa bersama prospek cerah untuk menjadi pasukan juara Piala Dunia di masa akan datang.

“Kami semakin hampir dengan pasukan lima terbaik dunia, saya masih menangisi kekalahan di separuh akhir tetapi ada juga senyuman kerana kami mempamerkan kekuatan hati dan keberanian ketika berdepan Uruguay,” kata Schweinsteiger yang masih berusia 25 tahun tetapi sudah mengumpul 81 kali penampilan.

“Jika kami terus meningkat sebegini, lambat laun trofi akan menjadi milik kami.”

Jerman menewaskan Uruguay 3-2 di Port Elizabeth untuk menduduki tempat ketiga, selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol pada separuh akhir, Rabu lalu.

Skuad kebangsaan Jerman pulang semalam tetapi ketua pasukan, Philipp Lahm berkata, lebih banyak kecemerlangan akan ditonjolkan lagi barisan itu.

“Kami mempunyai peluang baik untuk beraksi di pentas tertinggi di masa depan. Kami masih belum capai tahap tahap penghujung peningkatan kami,” kata pemain 26 tahun itu.
“Kami perlu berusaha keras. Tetapi kami mempunyai banyak kualiti dan perlu optimistik untuk masa depan.”

Ini adalah barisan kedua paling muda Jerman pernah bersaing di Piala Dunia, dengan purata usia adalah 25 tahun.

“Kami tidak perlu bimbang,” kata penyerang Lukas Podolski, yang seperti Lahm dan Schweinsteiger adalah antara anggota dalam pasukan yang turut menduduki tempat ketiga di Piala Dunia 2006 di negara sendiri.

“Kami mempunyai kumpulan pemain yang muda dan akan bersaing sekali lagi untuk merebut kejuaraan,” kata pemain 25 tahun itu.

Daripada 23 pemain, 10 adalah pemain bawah 25 tahun, manakala penyerang Bayern Munich, Thomas Mueller yang menjaringkan lima gol, dilihat calon terbaik untuk menerima anugerah Pemain Muda Terbaik.

Klose terpaksa akur

Miroslav Klose yang mengalami kecederaan dan sekadar memanaskan bangku pemain, terpaksa melupakan impian memburu rekod jaringan gol terbanyak Piala Dunia, tetapi pemegang rekod, Ronaldo tetap memuji pencapaian penyerang Jerman itu.

Klose, 32, terlepas aksi dalam kemenangan 3-2 ke atas Uruguay yang meletakkan negaranya di tangga ketiga pada kancah Piala Dunia kali ini, menutup peluangnya menambah dua gol bagi melepasi rekod 15 gol dicatat penyerang handalan Brazil itu.

“Dia benar-benar ingin bermain, tetapi selepas sesi latihan Sabtu lalu, dia memberitahu saya tidak dapat mengambil tempatnya dalam pasukan,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew, yang kemudian menyerahkan posisi Klose kepada Cacau.

“Dia amat kecewa tetapi dia tahu kami tidak akan membiarkan pemain yang hanya 80 peratus cergas mengambil bahagian.”

Bintang Bayern Munich itu, yang dibelenggu masalah kecederaan belakang, sekadar memanaskan bangku simpanan dengan jumlah jaringan terhenti di angka 14 – lima gol pada edisi 2002, lima pada 2006 dan empat di Afrika Selatan tahun ini.

Usia Klose mencecah 36 tahun pada Piala Dunia 2014 akan datang di Brazil, dan kemungkinan tidak akan disenaraikan lagi dalam pasukan kebangsaan.

Ronaldo, yang meledak 15 gol hasil tiga penampilan Piala Dunia – 1998, 2002 dan 2006, memuji karier Klose.
“Tahniah kepada Klose. Menjaringkan 14 gol Piala Dunia adalah sesuatu yang hebat, sedih dia tidak dapat beraksi,” kata Ronaldo.

“Saya tidak menghalangnya untuk memecahkan rekod saya. Saya sudah pun mencipta sejarah. Kini masa untuk pemain lain mengukir cerita mereka sendiri.”

– Reuters / AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url