HyppTV, televisyen Internet terbaru
Pada awal kemunculan televisyen di negara ini suatu masa dulu, kerajaan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memperkenalkan saluran televisyen pertama negara pada 28 Disember 1963. Ia telah mengambil tempat radio sebelum itu yang memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat atau sebagai alat hiburan kepada masyarakat.
Justeru, bermulalah era penyiaran secara visual. Walau bagaimanapun, ketika itu harga bagi sebuah peti TV sangat mahal dan hanya golongan yang berpendapatan mewah sahaja mampu untuk memilikinya.
Era penyiaran TV negara kemudiannya semakin berkembang dengan kemunculan sebuah lagi saluran televisyen swasta percuma pada tahun 1984 iaitu TV3.
Maka, rakyat sudah diberi pilihan untuk menonton saluran yang mereka mahukan. Persaingan sihat di antara kedua-dua saluran iaitu kerajaan dan swasta bermula memandangkan semakin ramai masyarakat yang sudah mampu untuk memiliki sebuah peti TV di rumah.
Seterusnya, pada era 1990-an, muncul lagi beberapa stesen TV swasta dan era penyiaran digital telah diperkenalkan melalui penubuhan Astro pada tahun 1996. Astro merupakan stesen TV berbayar pertama dengan 22 saluran TV dan lapan saluran radio pada awal kemunculannya dan siarannya dipancarkan melalui satelit pertama negara, MEASAT-1 (Malaysia East Asia Satellite).
Dengan perkembangan teknologi pada hari ini, era penyiaran di Malaysia telah melalui era transformasi. Menerusi pelbagai saluran TV, bermakna masyarakat telah dihidangkan dengan pelbagai sumber maklumat yang boleh diperolehi dengan pantas ataupun sebagai sumber hiburan.
Malah dalam tempoh 40 tahun, era penyiaran TV di Malaysia dilihat semakin pesat berkembang. Dari segi fizikal ia sudah menjangkau liputan siaran ke seluruh pelusuk negara. TV di negara ini bukan sahaja menggunakan alat pemancar yang canggih tetapi juga kemudahan satelit untuk pemancaran salurannya.
Dimensi baru
Jika sebelum ini talian Internet digunakan untuk mendapat sebarang maklumat yang diperlukan dengan melayari laman-laman web atau pun berkomunikasi dengan rakan-rakan lain melalui Yahoo Messenger atau Facebook, kini penggunaan Internet telah mencecah ke pada inovasi yang lebih canggih dan terkini.
Mungkin kita tidak pernah membayangkan sebelum ini bahawa penggunaan Internet sebenarnya lebih meluas dan pada hari ini dengan kemunculan HyppTV yang mula diperkenalkan pada awal tahun ini telah memberi fenomena dan dimensi baru kepada dunia penyiaran TV di Malaysia.
HyppTV merupakan satu perkhidmatan terbaru yang telah diperkenalkan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) yang dikhususkan kepada para pelanggan talian Internet jalur lebar UniFi TM untuk menonton pelbagai saluran TV yang disediakan.
Naib Presiden Eksekutif Pengguna TM, Jeremy Kung berkata, kewujudan HyppTV adalah seiring dengan perkembangan teknologi hari ini yang mana orang ramai boleh menonton saluran TV menggunakan talian Internet jalur lebar yang disambungkan pada peti TV.
"HyppTV ditawarkan kepada semua pelanggan kediaman perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) UniFi TM dan perkhidmatan berkenaan adalah sebahagian daripada tiga perkhidmatan yang ditawarkan termasuk talian telefon dan internet berkelajuan tinggi.
"Ketika ini, HyppTV menyediakan sebanyak 22 saluran dan ia dapat ditonton secara percuma kepada lebih 5,000 pelanggan UniFi TM pada masa ini meliputi saluran TV dalam dan luar negara," ujarnya pada majlis pelancaran di Menara TM, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Jeremy, selain 22 saluran percuma, TM turut menyediakan perkhidmatan Video atas Permintaan (VoD) menerusi HyyPTV, yang mana pengguna boleh melanggan sebarang filem atau drama terbaru pada bila-bila masa dan ketika ini ia masih diberi percuma sehingga September ini.
Dalam pada itu, Jeremy turut menjelaskan bahawa TM sememangnya begitu yakin dengan potensi perkembangan HyppTV dan akan terus berusaha menarik lebih ramai pelanggan selaras dengan perluasan perkhidmatan UniFi TM ke kawasan lain dari semasa ke semasa.
Menurutnya lagi, TM kini telah memperluaskan penggunaan UniFi TM menjangkau 18 buah kawasan lagi berbanding hanya empat kawasan sahaja ketika mula dilancarkan pada bulan Mac lalu.
Ini bermakna, perkhidmatan UniFi TM akan dapat disediakan kepada 375,000 premis dan melalui fasa pertama projek HSBB, ia dijangka dapat dipasang menerusi 1.3 juta premis menjelang akhir tahun 2012.
Baru setiap bulan
Memandangkan perkhidmatan HyppTV ini masih lagi baru, pastinya ramai yang ingin mengetahui dengan lebih terperinci tentang kelebihan yang akan diperolehi sekiranya mereka melanggan perkhidmatan tersebut pada masa akan datang.
Menurut Jeremy, perkhidmatan terbaru yang diperkenalkan oleh TM ini seiring dengan kemajuan teknologi sekarang. Jika saluran berbayar sebelum ini menggunakan satelit sebagai alat pemancar, kini HyppTV dapat ditonton dengan menggunakan talian Internet berkelajuan tinggi menerusi perkhidmatan Televisyen Protokol Internet (IPTV).
"HyppTV memang istimewa dan agak berbeza dengan perkhidmatan televisyen berbayar yang lain. Memandangkan saluran yang diterima menggunakan talian Internet, ini bermakna pengguna tidak akan mengalami sebarang masalah penerimaan saluran meskipun dalam keadaan cuaca yang buruk atau hujan," katanya.
Selain itu, perkhidmatan VoD yang disediakan melalui HyppTV juga adalah merupakan salah satu tarikan untuk menarik lebih ramai pengguna dan ia adalah satu pengalaman baru yang mana orang ramai berhak untuk memilih sendiri rancangan yang disukai tanpa mengira waktu atau masa terluang.
"Memang diakui masyarakat sekarang sibuk dengan jadual harian mereka hingga adakalanya terlepas peluang untuk menonton rancangan kegemaran disebabkan jadual rancangan yang telah ditetapkan. Namun menerusi HyppTV, mereka tidak perlu risau lagi kerana dengan adanya perkhidmatan VoD, mereka sendiri boleh menentukan jadual untuk menonton sesebuah program.
"Mereka boleh melanggan mana-mana filem atau siri drama terbaru kegemaran dengan sedikit jumlah bayaran akan dikenakan. Menariknya, ia boleh ditonton pada bila-bila masa sahaja termasuklah menonton bersama-sama ahli keluarga dalam tempoh 24 jam selepas waktu ia dilanggan," ujarnya.
Jelasnya lagi, selain 22 saluran TV yang diberikan secara percuma, melalui VoD juga pelanggan sudah tidak perlu terikat lagi dengan jadual rancangan yang tetap dan harus dipatuhi. Malah, program-program yang terkandung dalam VoD juga akan diperbaharui setiap bulan.
Katanya, kandungan program yang disediakan dalam VoD bukan sahaja mengandungi filem atau drama bersiri terbaru dari Hollywood dan negara-negara Asia yang lain, malah turut disediakan juga kandungan program-program tempatan.
Sementara itu, pada bulan Mac lalu juga, TM telah menandatangani perjanjian dengan 20 rakan usaha sama tempatan dan antarabangsa bagi membekalkan program dan kandungan untuk HyppTV dan mereka telah mensasarkan sebanyak 30 saluran secara percuma dapat disediakan kepada pelanggan pada masa akan datang.
Mewujudkan persaingan
Setiap kali kemuculan benda baru pasti dikaitkan dengan jangkaan terhadap impak daripada kemunculannya, tidak terkecuali HyppTV.
Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Datuk Salleh Majid dalam reaksinya mengenai kemunculan HyppTV memberitahu, ia adalah satu perkembangan yang cukup baik yang mana orang ramai akan mempunyai pelbagai pilihan untuk menikmati pelbagai saluran yang digemari selepas ini.
"Jika melihat dari sudut ekonomi pula, ini bermakna persaingan dapat diwujudkan dan ini akan memecahkan kuasa monopoli sebuah syarikat sahaja seperti yang dilalui sebelum ini. Dengan adanya persaingan juga, maka kualiti perkhidmatan yang diberikan tentunya akan menjadi lebih baik," ujarnya.
Tambah Salleh: "Selain itu, apa yang lebih penting adalah pakej yang ditawarkan juga mestilah berbaloi dan saya melihat bahawa apa yang ditawarkan oleh TM ini adalah suatu pakej yang cukup menarik, terutamanya dengan pengenalan HyppTV yang pasti akan mendapat sambutan baik selepas ini."
Menurutnya lagi, memandangkan HyppTV masih baru lagi diperkenalkan, maka beliau mencadangkan agar lebih banyak promosi akan dapat dibuat. Sementara, liputannya juga perlulah lebih meluas agar lebih ramai orang dapat melanggannya.
Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Dr. Fatimah Daud pula berpendapat, dengan kemunculan saluran TV yang semakin bertambah pada masa ini sebenarnya adalah untuk memenuhi keperluan kepelbagaian citarasa rakyat yang tidak terbatas.
Katanya, kemunculan teknologi terbaru seperti HyppTV adalah satu bentuk transformasi memandangkan kini adalah zaman peredaran maklumat yang begitu pantas dan ia bukan diperolehi melalui berita, malah melalui dokumentari atau filem yang dipaparkan di kaca TV.
"Memandangkan kita kerap dihidangkan dengan program yang boleh dianggap merosakkan akhlak, maka selepas ini diharapkan biarlah program yang disiarkan menerusi saluran-saluran TV di negara ini termasuk HyppTV adalah jenis yang mampu membentuk dan mendidik masyarakat," katanya.
- KOSMO!