Status 4 universiti kekal
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata hasil audit yang dijalankan terhadap empat universiti itu bermula 2007 hingga 2009 menunjukkan universiti terbabit memberi impak besar terhadap pencapaian bidang penyelidikan negara dan penghasilan modal insan.
“Berlandaskan kepada hasil audit itu, kita mendapati status keempat-empat universiti penyelidikan berkenaan boleh dikekalkan sebagai universiti penyelidikan untuk tempoh tiga tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Buku Kajian Kes Bersepadu Program Perakaunan dan Kajian Hala Tuju Bidang Pengajian, di sini, semalam.
Turut hadir, timbalannya, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkifli A Hassan.
Pada Oktober 2006, Kabinet meluluskan USM, UPM, UKM dan UM menjadi empat universiti penyelidikan pertama dan diberikan insentif termasuk dana penyelidikan yang besar.
Mohamed Khaled berkata, pencapaian keempat-empat universiti penyelidikan itu membabitkan empat aspek iaitu modal insan, penerbitan, paten dan harta intelek (IPR) dan penjanaan pendapatan.
Bulan lalu, Perdana Menteri, mengumumkan pemilihan UTM sebagai universiti penyelidikan terbaru bersama empat universiti sedia ada yang sudah terpilih.
Katanya, berdasarkan audit itu, penjanaan pendapatan bagi keempat-empat universiti itu meningkat sebanyak sembilan peratus atau RM310.7 juta dalam tempoh tiga tahun.
“Dalam aspek modal insan juga, bilangan pelajar pasca siswazah meningkat daripada 29,794 pada 2007 kepada 39,819 pada 2009 iaitu peningkatan sebanyak 34 peratus. Begitu juga dengan aspek penerbitan, bilangannya meningkat daripada 2,303 pada 2007 kepada 4,346 pada 2009 iaitu peningkatan 89 peratus,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, semua universiti penyelidikan itu masih ketinggalan dalam aspek pengkomersialan yang menurun daripada 4.3 peratus pada 2008 kepada 2.9 peratus tahun lalu.
- BERITA HARIAN