Jerman tempat ketiga Piala Dunia 2010


Jerman menepati ramalan apabila berjaya merangkul tempat ketiga Piala Dunia 2010 dalam perlawanan yang berlansung awal pagi ini.

Perlawanan di Stadium Nelson Mandela Bay itu menyaksikan Jerman berjaya menundukkan Uruguay dengan jaringan tipis 3-2

Gol-gol pasukan Jerman dijaringkan oleh Thomas Mueller pada minit ke 18, Marcell Jansen (minit ke-56) dan Sami Khedira pada minit ke-82.

Manakala gol Uruguay dijaringkan oleh pemain tengahnya Edinson Cavani pada minit ke-28 dan penyerang liciknya Diego Forlan pada minit ke 51, separuh masa kedua.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Namun, Jerman terlebih dahulu membuka tirai jaringan gol pada minit ke-18 melalui ayam tambatannya Mueller.

Jaringan tersebut bermula dari rembatan rakannya, Bastian Schweinsteiger dari jarak 35 meter, gagal ditepis dengan kemas oleh penjaga gol Uruguay Fernando Muslera menyebabkan bola itu bergolek ke hadapan.

Mueller yang berada berdekatan bola tersebut, dengan bergayanya menolak bola itu ke gawang.

Penuh dramatik

Selepas itu, Jerman cuba menggandakan serangan mereka bagaimanapun ia gagal membuahkan hasil.

Uruguay yang tersentak dengan gol tersebut, tidak berputus asa untuk menyerang bagi mendapatkan gol penyamaan dalam perlawanan penuh dramatik itu.

Usaha mereka tidak sia-sia apabila, 'counter attack' yang dilancarkan oleh pemian tengahnya Maximiliano Pereira yang merampas bola daripada Schweinsteiger terus menolak kepada Luis Suarez.

Suarez kemudiannya menolak kepada rakannya Cavani terus membawa bola masuk ke dalam kotak panelti, dan dengan mudah menolak bola tersebut ke dalam gol pada minit ke 28.

Kedudukan pada separuh masa pertama, terikat dengan 1-1.

Selepas gol yang dijaringkan oleh Cavani, pemain-pemain Jerman nampak gugup dengan hantaran yang dilakukan tidak menjadi dan tersekat di barisan pertahanan lawan.

Tambahan pula, penyerang berbisa mereka Miroslave Klose tidak bermain kerana selsema.

Sebaliknya Uruguay nampak ghairah memburu gol dan peluang terbaik pada separuh masa pertama hadir pada minit ke 41 apabila Luis Suarez yang mendapat lorongan daripada Forlan.

Tetapi tolakan Suarez hanya sedikit sahaja keluar di sebelah kanan, walaupun penjaga gol Jerman Hans Jeorg Butt sudah tertewas.

Pada separuh masa kedua, Uruguay melipatgandakan usaha dengan menyerang sejak wisel mula ditiupkan.

Gagal lepasi perangkap

Peluang terbaik untuk pasukan dari Amerika Selatan itu menambahkan jaringan tiba pada minit ke 47 apabila Cavani yang melepasi perangkap 'offside', cuba memperdayakan Hans dengan menepis bola itu tetapi bergolek singgah ke kaki Suarez.

Malangnya rembatan Suarez juga turut ditepis keluar oleh Hans.

Selepas itu, serangan demi serangan dilakukan maka pada minit ke 51, Forlan membuat sepakan 'half volley' hasil sepakan lintang rakannya membolehkan Uruguay mendahului Jerman dengan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun kegembiraan kem Uruguay tidak kekal lama apabila lima minit kemudian pemain tengah Jerman Marcell Jansen menanduk masuk pada minit ke 56, hasil hantaran lintang Jerome Boateng di sebelah kiri gol Uruguay

Kedudukan berubah 2-2.

Gol penyamaan tersebut telah menaikkan semangat pemain Jerman menyebabkan mereka melancarkan serangan dan membuat percubaan demi percubaan.

Sekurang-kurangnya empat percubaan dibuat selepas gol kedua itu, tetapi tersasar atau ditepis oleh penjaga gol Uruguay.

Hampir keseluruhan permainan pada separuh masa kedua di banyak dikuasai oleh Jerman dan serangan Uruguay berjaya dipatahkan oleh pertahanan lawan.

Peluang terbaik Uruguay hadir pada minit ke-62 dan 64 apabila rembatan dan sepakan Suarez dan Forlan berjaya di tepis oleh penjaga kedua Jerman.

Bagaimanapun pada minit ke-82, pemain tengah Jerman Sami Khedira berjaya menanduk masuk ke dalam gol setelah bola tandukan hasil sepakan sudut oleh seorang pemain Jerman telah terkena pemain Uruguay.

Kemudian bola tersebut melantun di hadapan Khedira, membolehkan beliau menanduk masuk ke gawang Uruguay.

Kedudukan berubah menjadi 3-2 dengan Jerman mendahului pada minit ke-82.

Selepas jaringan tersebut, Jerman cuba memperlahankan rentak permainan dan pada minit-minit akhir permainan, Uruguay dihadiahkan sepakan percuma di hadapan pintu gol Jerman.

Bagaimanapun, sepakan Diego Forlan hanya singgah di palang gol dan bola itu terus keluar.

Akhirnya pengadil meniupkan wisel dan mengesahkan Jerman merangkul tempat ketiga dalam piala dunia 2010.

Meuller dan Forlan yang menjaringkan gol pada perlawanan ini, kini berkongsi dengan lima gol bersama Wesley Scneijder dan David Villa.

- MALAYSIAKINI
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url