KD Tunku Abdul Rahman Berjaya Lancar Peluru Berpandu Exocet SM-9
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata peluru berpandu itu mengenai sasaran permukaan 40 meter panjang pada jarak 40 kilometer.
Katanya, peluru berpandu itu dilancarkan pada jam 10.15 pagi tadi sewaktu kapal selam berkenaan berada pada kedalaman 55 meter di mana ia sukar dikesan oleh sistem penderia bawah air mana-mana kapal permukaan.
Penembakan itu dilaksanakan sebagai sebahagian aktiviti kontrak ujian tropika, katanya dalam kenyataan di sini.
Abdul Aziz berkata pelancaran peluru berpandu itu telah membuktikan keupayaan kapal selam milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu melancarkan serangan dari bawah permukaan.
Beliau, yang turut hadir menyaksikan ujian itu, berkata penembakan itu juga bertujuan mengesahkan keberkesanan peluru berpandu itu dan keupayaan sistem persenjataan atau lebih dikenali sebagai SUBTICS KD TAR di kawasan laut beriklim tropika.
Katanya, misil Exocet SM39 Blok 2, yang diperolehi dari Perancis pada 2008, merupakan peluru berpandu bawah permukaan ke permukaan air yang mempunyai berat keseluruhan 2,100 kilogram, panjang enam meter dan diameter 35 sentimeter.
KD Tunku Abdul Rahman adalah antara dua kapal selam jenis Scorpene yang ditempah oleh kerajaan pada 2002 dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion.
Kapal selam itu dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.
KD Tunku Abdul Rahman tiba di negara ini pada 3 Sept 2009 manakala kapal selam kedua, KD Tun Razak, tiba pada 2 Julai lalu.
- BERNAMA