Kopitiam seluruh negara diragui

Penyediaan makanan berasaskan daging di hampir semua kopitiam di negara ini diragui status halal setelah pengusahanya didapati mendapatkan sijil halal hanya dengan menelefon syarikat yang mengeluarkannya.

Perkara itu didedahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hasil serbuan dan siasatan berikutan aduan orang ramai.

Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar berkata, siasatan pihaknya mendapati syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal itu tidak melakukan pemeriksaan di premis kopitiam terbabit apatah lagi di pusat penyembelihan dan status bekalan daging.

Jelas beliau, sebaliknya syarikat terbabit mengeluarkan sijil halal itu dengan hanya menemu bual pengusaha tersebut melalui telefon sahaja.

Menurutnya, justeru, semua makanan berasaskan daging yang disediakan oleh kopitiam di negara ini diragui status halal.

“Permohonan dibuat melalui telefon... pihak syarikat (halal) itu akan menyoal sama ada mereka menyediakan alkohol atau menyediakan daging babi dan beberapa soalan lain.

“Jika tiada, ia bermakna premis itu layak menerima sijil halal,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini mendedahkan sebuah kopitiam di Kepong yang diserbu penguat kuasa Jakim selepas dipercayai mendapatkan bekalan ayam daripada sebuah pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf.

Saimah berkata, hampir keseluruhan kopitiam di negara ini menggunakan sijil halal dikeluarkan oleh syarikat swasta kerana lebih mudah dan cepat diperolehi.

Beliau memberitahu, sebaliknya jika dipohon daripada Jakim, ia memerlukan pemeriksaan yang menyeluruh daripada restoran sehingga ke pusat penyembelihan.

Halal: Kerajaan tidak akan berkompromi

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pengusaha makanan yang mengaku menjual makanan halal sedangkan ia tidak menepati standard yang ditetapkan.

Pada masa sama beliau berkata, kerajaan juga tidak akan bertolak ansur terhadap pengusaha makanan yang gagal mematuhi syarat halal selepas mereka memperolehnya daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sekiranya berlaku dua kesalahan tersebut, pihak pengusaha terbabit akan menerima hukuman yang setimpal seperti mana diperuntukkan undang-undang.

''Mengikut undang-undang, pengusaha tidak wajib memohon sijil halal tetapi jika mereka mengaku menjual makanan halal, mereka wajib mempunyai sijil halal Jakim. Jika mereka gagal dan kemudian didapati makanan mereka memang tidak halal, mereka ini boleh dihukum.

''Sebagai contoh apabila timbul syak sembelih tidak betul atau penyediaan hidangan tidak mengikut piawaian halal. Sekiranya dakwaan ini betul mereka yang terlibat boleh dihukum di bawah perihal dagangan,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Usahawan Desa 2010 di pekarangan Stadium Bukit Jalil di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan sebuah kopitiam terkenal di sini, diserbu oleh Jakim selepas dipercayai mendapatkan bekalan daging ayam daripada sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam.

Muhyiddin berkata, beliau tahu mengenai isu tersebut kerana pernah memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

''Saya tahu mengenai isu ini dan ia melibatkan soal penggunaan perkataan halal. Mereka yang mengaku produk atau makanan mereka halal hendaklah membuktikan ia benar-benar halal.

''Pihak berkuasa akan menjalankan pemeriksaan dan jika benar produk atau makanan yang dijual tidak halal, pengusaha seperti ini boleh dikenakan tindakan,'' ujarnya.

Sementara itu, beliau mahu pengusaha hotel serta restoran yang masih belum mempunyai sijil halal segera mendapatkannya daripada pihak Jakim.

Beliau berkata, walaupun ia bukan satu kewajipan, tetapi pihak terbabit harus bersama-sama bertanggungjawab menyediakan makanan dan minuman yang disahkan halal bagi melindungi kepentingan umat Islam.

Katanya, adalah tidak wajar golongan berkenaan enggan memohon sijil halal lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan kerana pada bulan tersebut pihak pengusaha berlumba-lumba menarik minat umat Islam berbuka di premis mereka.

''Nasihat Jakim mesti diberi perhatian oleh pengusaha hotel dan restoran. Bukan sahaja pada bulan puasa tetapi di sepanjang masa. Sekiranya mereka kata produk, makanan dan perkhidmatan mereka halal, ia mesti disertakan dengan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim.

''Tidak lama lagi bulan Ramadan dan sudah pasti banyak hotel mahu mengambil kesempatan mempromosi makanan Ramadan. Bagi hotel yang masih belum mempunyai sijil halal diminta segera berbuat demikian,'' katanya.

- MINGGUAN MALAYSIA

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.