Monorel Buatan Malaysia


Trek monorel di persimpangan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pasti mencuri tumpuan warga kota walau hanya sesaat.

Jika bertuah, antaranya berpeluang melihat tren monorel menyusuri dari dua arah sama ada menuju ke Stesen Titiwangsa atau Stesen KL Sentral.

Begitulah fenomena transit awam di Kuala Lumpur yang tersedia kemudahan monorel di bawah operasi KL Monorail dengan perkhidmatan dalam bandar sejauh 8.6 kilometer.

Namun tidak ramai yang menyedari pengangkutan awam moden itu adalah buatan Malaysia keluaran Scomi Engineering Bhd, penyedia penyelesaian pengangkutan.

Menerusi lawatan media anjuran Scomi Engineering baru-baru ini, penulis berkesempatan mengunjungi kilang monorel yang terletak di Rawang, Selangor.

Kilang pembuatan monorel itu dibangunkan di atas keluasan 15 hektar itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM30 juta.Kapasitinya terdiri daripada dua barisan pembuatan iaitu bahagian satu bagi kenderaan monorel dan bahagian kedua, kenderaan rel konvensional.

Menariknya di sini, kawasan kilang terbabit dikelilingi trek sepanjang 1 kilometer bagi memudahkan ujian ke atas monorel dilakukan.Melihat pembuatannya di depan mata jelas membuktikan monorel yang menyusuri kawasan sekitar ibu negara itu adalah buatan tempatan.

Monorel berkenaan direka khusus untuk memenuhi keperluan pengangkutan bandar berkapasiti semasa dan setiap inci komponennya mendapat piawaian antarabangsa dari segi keselamatan, kualiti dan keupayaan.

Ia dihasilkan lengkap dengan ciri dan kelebihan bagi mengoptimumkan aliran penumpang dan sistem pengurusan kenderaan (VMS) yang membolehkan pemanduan lebih berkualiti dan lancar.

Penulis dapat melihat banyak unit kenderaan (gerabak) monorel bermula dari rangka besi, separuh siap sehingga lengkap digabungkan beberapa unit menjadi sebuah tren.

Ibarat satu kelahiran baru, Scomi Engineering membuktikan negara juga mampu menjadi pembuat monorel dengan standardnya bertaraf antarabangsa.

Keupayaan Scomi Engineering bukan sekadar menjadi kebanggaan Kuala Lumpur menerusi KL Monorail, malah mencatat kejayaan menerusi projek di luar negara.

Pada masa ini, syarikat itu sedang melaksanakan projek monorel sejauh 19.54 kilometer di Mumbai, India bernilai RM1.85 bilion sekaligus menjadi projek sulung luar negara.

Bagi membina sesebuah monorel, ia perlu menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengenal pasti perkembangan atau teknologi baru.

Fasa berkenaan memainkan peranan penting bagi membangunkan rekaan monorel sedia ada sebelum sesebuah prototaip direka dan dihasilkan.

Prototaip ini akan melalui ujian kitaran bagi melihat keberkesanannya terhadap kualiti dan ketahanan komponen dan sistem berkaitan.Selepas melepasi peringkat prototaip, Scomi Engineering akan membuat konsep rekaan mengikut keperluan dan kehendak pelanggan.

Mungkin nampak mudah, namun setiap rekaan memerlukan penelitian secara terperinci dari peringkat awal hingga akhir untuk produksi.Stesen kerja bermula apabila membuat persediaan bahan-bahan mentah dari segi pemotongan dan pembentukan.

Rekaan struktur badan monorel dilakukan teliti menerusi proses gabungan dan kimpalan bagi memastikan setiap komponen mempunyai ketahanan tinggi.

Kimpalannya saja diiktiraf antarabangsa daripada Institut Kimpalan (TWI), organisasi penyelidikan dan teknologi dengan kepakaran kimpalan di Cambridge, United Kingdom.

Kemudiannya, struktur badan monorel yang sudah siap akan dicat dan sewaktu lawatan dibuat, beberapa unit gerabak monorel diwarnai biru dan hijau untuk projek di Mumbai.

Bagi setiap komponen pula akan dihimpunkan di kawasan off line sebelum dipasang pada badan monorel.Peringkat akhir adalah ujian dan pentauliahan bagi menguji keupayaan dan kecekapan monorel menepati rekaan dan spesifikasi sebelum diserahkan kepada pelanggan.

Ujiannya sudah pasti menggunakan trek sejauh 1 kilometer yang mengelilingi kilang pembuatan monorel itu.Difahamkan, setiap komponen yang digunakan untuk membuat monorel berkualiti tinggi dan mempunyai ketahanan di mana jangka hayatnya sehingga 30 tahun.

Kira-kira 100 unit kenderaan boleh dihasilkan dalam setahun, namun pengeluaran itu boleh digandakan bergantung kepada keperluan dan permintaan.

Jika satu tren monorel menggunakan dua unit, Scomi Engineering boleh mengeluarkan 25 sehingga 50 set tren lengkap dalam tempoh berkenaan.

Kilang tersebut bukan sahaja melihat proses pembuatan monorel, tetapi turut mempamerkan kepakaran, inovasi dan teknologi dalam pembangunan transit awam.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url