Muhammad Asyraf Juara Imam Muda Musim Pertama
Kemuncak Imam Muda Khamis malam yang diadakan di Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berakhir dengan kemenangan Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26.
Peserta berasal dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu mengalahkan pesaing terdekatnya, Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27. Juara sulung Imam Muda itu menerima biasiswa pakej 'Berlian' pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi tajaan Yayasan Antarabangsa Al- Madinah.
Beliau juga ditawarkan jawatan Imam Ratib (kontrak) di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan berserta sebuah kereta Proton Exora.
Bukan itu sahaja, Asyraf juga membawa pulang wang tunai RM20,000 dan sebuah komputer riba jenis Apple Macbook Pro, i Phone 3G, trofi dan sijil penyertaan serta kad pertauliahan daripada Jawi.
Di samping itu dia turut mendapat pakej menunaikan haji dan umrah serta pakej percutian ke Bandung selama 4 hari 3 malam, perabot jati bernilai RM10,000 dan pakej SPA Maghribi.
Asyraf melahirkan rasa terharu kerana terpilih sebagai juara rancangan itu untuk musim pertama.
"Saya berasa gembira bukan disebabkan saya dinobatkan sebagai juara. Namun saya lebih gembira kerana program ini dapat ditonton oleh umat Islam di seluruh dunia.
"Sasaran kemenangan ini bukan sahaja dinilai pada kejayaan individu itu, tetapi kejayaan kepada seluruh masyarakat dan Islam itu sendiri.
"Pada masa yang sama, kami sepuluh orang sebenarnya takut jika program ini telah memecah tradisi tetapi pesertanya tidak menunjukkan apa-apa kualiti.
"Insya-Allah kami akan cuba memberikan tunjuk ajar kepada masyarakat dengan sokongan yang ada," kata graduan Sarjana Muda Usuluddin dan Fikah dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur ini.
Bagi Hizbur, graduan Syariah Islam Universiti Al-Azhar yang berkhidmat sebagai guru tahfiz menerima kekalahannya malam ini dengan hati yang terbuka.
"Saya berasa bangga kerana program ini berjaya dengan lancar. Mungkin ada kekurangan dan kecacatan sebab kami tidak mempunyai contoh kerana kami generasi yang pertama (Imam Muda).
"Insya-Allah, kami akan menubuhkan kelas agama dan kelab untuk remaja," kata Hizbur.
Pemenang tempat kedua itu membawa pulang hadiah berupa biasiswa Pakej 'Emas' pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi tajaan Yayasan Antarabangsa Al- Madinah, pakej menunaikan umrah dan pakej percutian ke Bandung selama 4 hari, 3 malam, perabot jati bernilai RM7,000 serta pakej SPA Maghribi.
Dia turut menerima sebuah komputer riba jenis Apple Macbook Pro, i Phone 3G, wang tunai RM15,000 trofi dan sijil penyertaan serta kad pertauliahan daripada Jawi.
Yayasan Antarabangsa Al Madinah turut berbesar hati menawarkan hadiah saguhati kepada lapan peserta lain, berupa biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi. Mereka turut menerima pakej percutian ke Bandung 4 hari 3 malam, pakej SPA Maghribi, i Phone 3G, trofi dan sijil penyertaan serta kad pertauliahan daripada Jawi.
Sistem pemarkahan dikira berdasarkan ujian teori sebanyak 50 peratus dan praktikal masing-masing 20 peratus, manakala 30 peratus markah lagi ditentukan pada pusingan kemuncak.
Juri dan mudir yang mengadili program akhir malam terdiri daripada Pengetua rancangan itu, Datuk Hassan Mahmood serta dua tenaga pengajar, Ustaz Shahrizan Daud, Syed Mohd. Norhisyam Tuan Padang. Ia dihoskan Ustaz Dzulkarnain Hamzah.
Tidak seperti program realiti lain, format Imam Muda berasaskan modul pengajian yang berlandaskan agama dan akidah dan tidak sama sekali menerapkan elemen komersial.
Program siri pencarian pertama berunsur Islam ini tidak terikat dengan undian bebas khidmat pesanan ringkas (SMS). Peserta yang tersingkir masih mengikuti pengajian imam yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Antara ujian dan cabaran yang dilalui oleh 10 peserta Imam Muda termasuklah menguruskan jenazah yang tidak dituntut, memberi motivasi kepada kanak-kanak serta golongan dewasa di rumah perlindungan, operasi ke pusat penyembelihan dan rumah pelacuran serta memberi kaunseling kepada pasangan suami isteri bermasalah.
Sepanjang ia berlangsung, program ini mendapat liputan media luar negara termasuk BBC World, CNN, Al-Jazeera, Reuters, majalah Der Spiegel Magazine dari Jerman dan akhbar International Herald Tribune, New York. Kesemua wakil media berkenaan turut hadir ketika rakaman program berlangsung dan mereka memberi reaksi positif terhadap keindahan agama Islam yang ditampilkan melalui program itu.
Turut hadir dalam ada kemuncak itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Rancangan itu dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis.
- MSTAR