Muslim dituntut sentiasa istiqamah dalam beribadat
Antara sifat terpuji yang menjadi perhiasan wajib orang Mukmin yang bertakwa kepada Allah ialah beristiqamah dalam beramal soleh. Sehubungan itu, Allah Taala berfirman dalam surah Hud, ayat 112 yang bermaksud: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul seperti yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran (bertaubat) mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.”
Jelas daripada maksud ayat al-Quran itu, istiqamah membawa maksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendiriannya yang asal, tidak berganjak dan juga tidak mundur ke belakang biar selangkah jua. Biar apa pun yang terjadi dan apa yang bakal dihadapinya, pendiriannya yang asal tetap dipertahankan walaupun nyawa dan jasadnya akan menjadi bahan pertaruhan. Yang penting baginya, pendiriannya untuk menjayakan cita-citanya yang suci akan tercapai dan berjaya juga akhirnya.
Perlu diinsafi bahawa beristiqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh sesiapa pun jua biarpun lidah yang tidak bertulang ini begitu petah melafazkannya ke seantero dunia. Ini kerana istiqamah sebenarnya sedikit sebanyak menuntut pengorbanan yang penuh tulus daripada seseorang Muslim dan kadangkala jasadnya, hartanya dan nyawanya sekali akan menjadi pertaruhan demi menjayakan cita-cita Islam. Situasi seumpama inilah yang telah ditunjukkan oleh generasi Rasulullah SAW iaitu para sahabat yang tetap teguh dalam perjuangan mereka menegakkan Islam ketika itu.
Selain daripada beristiqamah mempertahankan kebenaran dan kepercayaan yang bertakhta di jiwa sanubarinya, seorang Muslim juga dituntut supaya beristiqamah melaksanakan segala perintah Allah dan juga menjauhi segala larangan-Nya. Beristiqamah dalam mengerjakan amalan soleh yang dianjurkan Islam adalah amalan amat afdal dan disukai di sisi Allah Taala. Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Amalan yang paling disukai di sisi Allah ialah amalan yang dilakukan secara berterusan (istiqamah) biarpun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari)
Syeikh Ali Mahfuz di dalam kitab Hidayah al-Mursyidin pula menegaskan bahawa istiqamah itu ialah satu keadaan konsisten atau beriltizam dalam menuruti sunnah yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah, berakhlak dengan akhlak yang diredai Allah Taala dan sikapnya serta tindakannya jauh daripada pengaruh hawa nafsu. Sebab itulah orang yang dikuasai oleh hawa nafsu, mata hatinya akan menjadi buta. Akibatnya, dia tidak dapat membezakan antara yang sunnah dengan yang bidaah dan yang baik dengan yang buruk. Bahkan yang sering terjadi adalah sebaliknya, perkara bidaah dianggap sunnah, sunnah pula dikira sebagai bidaah, yang salah dikatakan benar dan yang benar dikira salah pula.
Yang paling menggerunkan lagi, apabila seseorang manusia kalah dalam perjuangan memerangi hawa nafsu, malapetaka besar akan berlaku. Ini kerana hawa nafsu mampu mengubah ibadat seseorang hamba itu kepada Allah Taala yang Maha Esa kepada ibadah hawa nafsu sentiasa cenderung mengarahkan manusia ke arah kesesatan dan kebatilan.
Justeru, seorang Muslim bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya ialah seorang Muslim yang sentiasa menjunjung segala titah dan perintah Allah pada sepanjang masa dan ketika tanpa memilih untuk beramal pada bulan atau hari tertentu. Padanya, setiap detik, masa dan hari berlalu amat berharga baginya untuk memperbanyakkan amalan soleh sebagai bekalan dan persediaan sebelum menghadap Allah pada hari akhirat kelak.
Seorang Muslim yang beristiqamah akan merebut setiap peluang dan kesempatan mendatang tanpa berlengah-lengah kerana ingatannya sentiasa segar dengan hadis Rasulullah bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa hidup kamu sebelum datangnya masa mati kamu; masa sihat kamu sebelum datangnya masa sakit kamu; masa lapang kamu sebelum datangnya masa sibuk kamu; masa muda kamu sebelum datangnya masa tua kamu dan masa kaya kamu sebelum datangnya masa miskin kamu. (Hadis riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi).
Sehubungan itu, seorang Muslim yang bertakwa sentiasa prihatin dan peka dalam segala pelaksanaan amalan soleh demi meraih ganjaran disediakan oleh Allah Taala, lebih-lebih lagi ganjaran berlipat ganda pada bulan tertentu seperti bulan Muharam, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Pada bulan berkenaan, seorang Muslim yang beristiqamah akan melipatgandakan amalannya berbanding pada hari-hari biasa dan berusaha untuk meraih kelebihan, keistimewaan dan ganjaran yang terhampar sepanjang bulan berkenaan.
Amat malang juga ada sebahagian umat Islam yang hanya beramal pada bulan yang istimewa saja dan tidak meneruskan pula amalan soleh itu pada bulan yang lain.
Apabila tiba Ramadan, dia akan berpuasa dan melakukan amalan yang dianjurkan sepanjang bulan berkenaan dengan penuh tekun, tetapi setelah berlalunya Ramadan, dia seolah-olah ‘merdeka’ daripada segala amalan soleh. Ini menunjukkan betapa iman dan amalnya adalah bermusim seperti musim buah-buahan pada bulan tertentu. Amalan seumpama ini tidak disukai oleh Allah dan juga bukan sifat seorang Muslimbertakwa dan beristiqamah.
Rasulullah adalah qudwah terbaik sebagai seorang hamba Allah yang bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya. Rasulullah sentiasa beramal soleh sepanjang masa dan ketika, hatinya tidak putus-putus mengingati Allah, lidahnya sentiasa basah dengan zikir kepada Allah dan segala tindak tanduk serta pergerakannya sentiasa memantulkan nilai kebajikan dan kebaikan. Begitu juga generasi para sahabat berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah muncul sebagai generasi terbaik dan contoh dalam segala lapangan hidup.
Pendek kata, sifat istiqamah adalah sifat terpuji di sisi Allah Taala sehingga ia mengangkat darjat ketakwaan seseorang Muslim dan martabat umat Islam sebagai generasi terbaik dan contoh kepada umat lain. Oleh itu, amatlah wajar sifat istiqamah menjadi suatu perhiasan wajib bagi setiap Muslim supaya dia beroleh kejayaan, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.
- BERITA HARIAN