Produk ikan Atimas


Bermula dengan menternak ikan keli kanvas secara kecil-kecilan, pasangan suami isteri Ami Ludin Surip dan Siti Hanim Kosnin berdepan dengan pelbagai jenis masalah.

"Banyak masalah yang kami hadapi semasa menternak ikan keli seperti harga makanan yang semakin meningkat selain masalah pemasaran.

"Bagi mengatasi masalah pemasaran, kami menghasilkan produk hiliran daripada ikan keli iaitu burger ikan keli.

"Ketika itu kami mahu menghasilkan produk baru yang tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana usahawan di negara ini," kata Siti Hanim sewaktu ditemui di premisnya di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Walaupun burger ikan keli enak tetapi 30 peratus pelanggan menolak apabila mendapatkan tahu bahan asasnya adalah ikan keli.

"Isi ikan keli lebih halus dan putih sesuai dijadikan pelbagai produk makanan tetapi ramai pelanggan yang menolaknya menyebabkan kami berubah menggunakan ikan laut bagi memenuhi selera pelanggan," jelasnya.

Minat yang mendalam dengan produk makanan berasaskan ikan mendorong Siti Hanim menghadiri pelbagai kursus penghasilan produk ikan anjuran Jabatan Perikanan di Chendering, Terengganu dan kursus inovasi di Perak.

Selepas menamatkan kursus, Siti Hanim yang juga Pengurus Perniagaan Atimas menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama dua tahun bagi mendapatkan maklum balas pelanggan mengenai burger ikan.

"Dalam tempoh berkenaan saya mengedarkan burger ikan Atimas ke gerai-gerai burger berhampiran dan mendapatkan maklum balas bagi meningkatkan lagi kualiti bagi menepati selera pelanggan," ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Setelah burger ikannya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan dan pengusaha gerai burger, Siti Hanim menyewa sebuah premis di Taman Putra Perdana, Puchong bagi melancarkan operasinya.

Di sana, dia mengembangkan lagi perniagaan dengan menghasilkan pelbagai jenis produk berasaskan ikan seperti otak-otak, popia otak-otak, sata, popia sata dan pulut panggang.

Dalam menjalankan perniagaan, Siti Hanim dibantu agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bagi menganalisis nutrisi pemakanan, Perniagaan Atimas menggunakan khidmat nasihat Jabatan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

Sehingga kini, Perniagaan Atimas yang merupakan anak angkat kepada Jabatan Perikanan menerima bantuan dalam bentuk geran sebanyak RM50,000.

Mempunyai lima orang pekerja sepenuh masa, Perniagaan Atimas mempunyai kapasiti mengeluarkan 2,400 bungkus burger sehari selain lima produk lain.

Mendapat bekalan ikan daripada Pasar Borong Selayang, Siti Hanim menggunakan ikan selayang dan tamban dalam burger dan kebanyakan produknya.

Pelan pemasaran yang teratur dan rasa produk yang enak menyebabkan produk Atimas mudah mendapat pasaran. Selain itu kehadiran ejen-ejen di sekitar Lembah Kelang juga menjadikan produk Atimas mula dikenali ramai di kalangan pengguna.

Burger ikan

"Kami mempunyai ejen di sekitar Selangor seperti Banting dan Hulu Langat, Kelang dan Puchong serta di Seremban, Negeri Sembilan.

"Selain menggunakan ejen, terdapat juga pelanggan yang datang membeli terus dari premis kami," katanya.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, Siti Hanim memberitahu dia bercadang menghasilkan produk baru setiap dua bulan.

Antara produk terbaru yang telah dihasilkan adalah sosej ikan, ketul ikan, bebola ikan dan kek ikan bersalut di samping menghasilkan burger dan produk ikan lain menggunakan ikan keli seperti bebola ikan dan kek ikan yang memerlukan ikan isi putih.

Kepada mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk Atimas bolehlah melayari laman blog http://atimasburger.blogspot.com atau hubungi Ami Ludin di talian 016-2292 592.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url