Sifat belas kasihan bukti kesempurnaan iman
salidasuhaila99@yahoo.com
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia
Masyarakat negara ini terkenal dengan budaya budi pekerti lemah lembut dan bersopan santun. Keadaan itu menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghias diri dengan sifat terpuji.
Cuma, mutakhir ini banyak perkara yang meruntun hati berlaku. Penganiayaan di sana-sini, tidak terkecuali dalam institusi perkahwinan. Rentetan itu cukup membimbangkan dan menggambarkan segelintir masyarakat Malaysia ketandusan sifat kemanusiaan.
Bagi umat Islam, penderaan dan penganiayaan dilarang keras kerana Islam adalah al-Din yang bersifat belas kasihan.
Jika kita benar-benar menghayati agama, tiada kepincangan dalam hubungan kemasyarakatan bahkan Rasulullah SAW juga menunjukkan cara berakhlak dengan ahli keluarga, tetangga dan masyarakat.
Menjadi orang yang membawa kebaikan kepada alam sejagat bukan mudah, kerana itu Rasulullah SAW mengajar perbuatan baik supaya Baginda tidak berseorangan dalam urusan ini sebaliknya dibantu dan disokong oleh sahabat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: “Kami semua sememangnya bersifat rahmat.” Lantas Baginda SAW menjawab: “Bukan itu maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Hadis riwayat Tabarani)
Rahmat adalah perkara yang membawa kebaikan dan Islam agama yang membawa keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam membabitkan semua makhluk.
Bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana, Islam memerintahkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.
Belas kasihan ini bukan saja kepada sahabat terdekat tetapi alam seluruhnya, terutama jiran tetangga dan yang ada hubungan nasab.
Sebagai umat Islam, kita perlu berbuat baik terhadap mereka yang paling hampir sehinggakan apabila ingin memberikan juadah, Rasulullah SAW mengajar supaya diberi kepada jiran yang pintunya paling hampir dengan rumah kita, bukan jiran paling rapat.
Sifat belas kasihan membuatkan kita mudah tersentuh apabila melihat kesusahan menimpa orang lain dan begitu juga sebaliknya. Jika perasaan seumpama itu tidak wujud dalam diri manusia, ia menurunkan taraf manusia lebih teruk daripada haiwan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan antara satu sama lain hinggakan ada seekor haiwan yang mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Ibu bapa perlu mempunyai kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika anak melakukan kesalahan, hendaklah ditegur dan dibetulkan kesalahannya dengan lemah lembut serta kasih sayang, bukan memukul dengan kekerasan.
Pada tahap pendidikan di awal usia, anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh dengan penuh kasih sayang dan lemah lembut. Perlu diingat gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat antaranya berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas dan kemesraan dalam rumah.
Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai semula kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam.
Dalam konteks kekeluargaan pula, suami isteri perlu bertolak ansur dan berbelas kasihan antara satu sama lain menguruskan rumah tangga. Ia selaras objektif perkahwinan dalam Islam untuk menyuburkan kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri bagi mengecapi kebahagiaan sejati.
- BERITA HARIAN