N900 model pintar terbaru Nokia


Perubahan saiz, fungsi dan peranan dalam rekaan telefon mudah alih menggambarkan kepantasan evolusi teknologi masa kini yang turut didorong permintaan pengguna yang menggalakkan.
Nokia, nama yang tidak asing lagi di kalangan segenap masyarakat, terutamanya di Asia memperkenalkan telefon pintar model terbarunya, N900 atau lebih tepat jika diklasifikasikan sebagai sistem komputer kompak, disokong ciri telefon mudah alih asas.

Berita Harian menerusi Teknologi akan mengupas dengan lebih mendalam aspek utama dan spesifikasi teknologi yang didatangkan pada N900.

Ciri sistem komputer yang didatangkan pada produk itu sangat dinantinantikan peminat Nokia; susulan pengenalan pelbagai produk seumpamanya di kalangan syarikat pesaing.

Internet yang menjadi asas pembangunan N900 itu mampu menarik minat pengguna Internet atau ‘kaki Internet’; yang mahukan pelayaran di dunia maya tanpa batasan menyamai sistem komputer peribadi Selepas diberi peluang menilai N900, boleh disifatkan kehendak pengguna yang mahukan telefon pintar lebih bertenaga, aspek keupayaan dari segi fungsi penggendali serta aplikasi yang dipertingkatkan dan lebih berani direalisasikan.
Ia juga mengetengahkan teknologi sistem penyampaian sambungan lebih cekap menerusi Akses Paket Berkelajuan Tinggi (HSPA) 10/2 dan keupayaan Rangkaian Kawasan Setempat Tanpa Wayar (WLAN).

Dari segi penampilannya, ia seperti produk sistem kedudukan global (GPS), tetapi lebih kecil dan rekaan permukaan yang rapi serta anggun.

Aspek penggendaliannya dipelbagaikan dengan sistem skrin sesentuh dan papan kekunci QWERTY, seterusnya memberi pilihan kepada pengguna mengikut keselesaan masing-masing.

Kecanggihan yang cuba diketengahkan pada produk telefon pintar N900 itu didokong perisian Maemo 5, iaitu sebagai enjin penggerak utama dan berkemampuan melaksanakan pelbagai tugasan serta aplikasi serentak dengan tidak menjejaskan prestasinya.

Sistem yang digunakan bagi membolehkan N900 melaksanakan pelbagai tugasan sama seperti sistem komputer peribadi adalah dengan menggabungkan teknologi prosesor bertenaga ARM Cortex-A8, memori aplikasi sehingga mencecah 16 Gigabait (GB) dan komponen grafik OpenGL ES 2.0.

Jika pengguna mahu beralih ke laman aplikasi lain, yang perlu dilakukan hanya skrol ke sebelah tepi laman yang sedang digunakan dengan menggunakan jari atau pen kemudi yang turut dilengkapi bersama.

Ciri yang dikenali ‘skrin asal panoramik’ pada N900 memberikan pengkhususan kepada pemiliknya apabila paparan aplikasi ikon di muka depannya dapat ditetapkan mengikut cita rasa serta keperluan tersendiri.

Ia bermaksud, ikon internet, khidmat pesanan ringkas (SMS), buku telefon, album dan kamera boleh ditempatkan mengikut susunan tersendiri. Pelayaran Internet pula mudah dikendalikan susulan penggunaan teknologi yang dibangunkan Mozilla.

Kapasiti storannya pada 32 GB dan boleh ditambah sehingga 48GB memberi kepuasan kepada pemiliknya untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti melayari Internet, mengambil gambar serta video dan menyimpan nombor panggilan kenalan pada jumlah yang banyak.

Kualiti gambar yang diambil menerusi kamera 5 megapiksel itu dengan komponen optik Carl Zeiss tidak menghampakan, tetapi harapan yang sama tidak boleh diletakkan pada aplikasi videonya, iaitu banyak boleh dipertingkatkan pada masa depan.

Nokia N900 yang sudah memasuki pasaran tempatan sejak 27 Mac lalu ditawarkan pada harga RM2,280.

INFO
Spesifikasi

Rangkaian:
2G (GSM 850 / 900 / 1800/ 1900)
3G (HSDPA 900 / 1700 /2100)

Saiz Dimensi: 110.9 x 59.8 x 18mm, 113 cc
Berat: 181 gram

Paparan:
Jenis: TFT rintangan skrin sesentuh, warna 65K
Saiz: 800 x 480 piksel, 3.5 inci

Kunci navigasi:
Papan kekunci penuh mengelungsur

Bateri:
Li-Ion 1320 mAh (BL-5J)

Sambungan:
HSDPA, WiFi/WLAN, 3G,
EDGE, GPRS, Bluetooth,
USB, Inframerah (IrDA),
Kabel data

INFO APLIKASI:

Aplikasi Pejabat dan Produktiviti:
PDF Reader (Jarang disediakan
pada produk telefon)
Kalkulator
E-mel (termasuk sokongan POP)
Buku telefon
Pencatat nota
Kalendar
Jam

Media:
Pemain MP3
Pemain Video
Galeri foto
Perisian Kamera

Pelayaran web:
MicroB: Pelayar berasaskan
Mozilla (Pembangun FireFox)

Pembaca RSS: Digunakan bagi menyimpan pelbagai berita terkini
Sokongan Adobe Flash

Peta:
Peta Ovi
Penjejak laluan
GPS

Permainan digital:
Blocks
Chess
Mahjong
Marbles

Komunikasi:
Google Talk
Skype
SMS
MMS

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url