Akaun Facebook Aida (Gadis Melayu) Diceroboh
JUARA Gadis Melayu musim pertama, Khairul Noormaaidah Zali atau Aida mendakwa akaun e-mel yang didaftarkan pada Facebooknya telah diceroboh.
Baru menyedarinya lima hari lalu, Aida berkata, dia tidak menyangka akaun e-melnya telah dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana sibuk berkerja.
Aida menggunakan e-mel khairulnoormaaidah@yahoo.com termasuk untuk akaun Facebook miliknya tetapi akibat perbuatan jahat sesetengah pihak itu, dia terpaksa menukar e-mel berkenaan.
"Selama ini Aida memang tidak dapat kesan sebab e-mel itu Aida tidak pernah guna. E-mel itu menang hanya untuk akaun Facebook bagi kemudahan berinteraksi dengan para peminat.
"Tetapi empat hari lepas, Aida terperanjat apabila membuka e-mel tersebut dan mendapati ia telah diceroboh," katanya.
Mengulas lanjut, Aida yang merupakan isteri kepada pembaca berita Buletin Utama TV3, Saiful Nizam, berkata, dia hanya membuka e-melnya selepas rakannya di Universiti Utara Malaysia telah menghantar soalan-soalan untuk dijawab bagi tugasan kuliah.
Bagaimanapun Aida terkejut apabila mendapati mesej di dalam e-mel bekenaan telah dijawab tanpa pengetahuannya.
Kerana risau apa-apa yang lebih buruk akan terjadi, Aida telah menutup e-mel tersebut dan menggantikan dengan e-mel baru selain menutup sementara akaun Facebooknya.
Katanya, dia juga telah memasukkan mesej mohon maaf di laman Facebooknya dan menjelaskan perkara sebenar kepada para peminat.
Mengenai perkembangan semasa, Aida memberitahu, dia baru selesai mengelola kan diari Akademi Al-Quran (AQ) musim keempat.
Dia kini sedang menjalani penggambaran program Resipi Istana di mana dia pergi ke istana untuk menghoskan rancangan masakan bersama kerabat diraja.
Setakat ini, dia telah melawat ke negeri Kedah, Kelantan dan Johor.
Ditanya tentang bila dia akan menimang cahaya mata, Aida berkata, dia dan suaminya hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukannya.
"Insya-Allah, sekiranya ada rezeki, kami tidak akan menolaknya," katanya.
- MSTAR