Betulkan niat sebenar berpuasa

Oleh MUHAMMAD ZAKI RAMLI
Eksekutif Penyelidikan di Yayasan Ilmuwan

Seringkali apabila masuk bulan Ramadan, antara perkara yang kerap dibincangkan dalam media massa dan masyarakat adalah kelebihan berpuasa dari sudut kesihatan.

Antara yang dihebahkan adalah peluang menggunakan tempoh sebulan berpuasa untuk meningkatkan kesihatan dan menguruskan badan kerana menahan diri daripada makan dan minum, bermula selepas matahari terbit sehingga terbenam.

Malah pada sebelah malamnya pula, solat tarawih dijadikan batu loncatan untuk melakukan lebih banyak aktiviti yang menggerakkan fizikal.

Natijahnya, tujuan asal berpuasa bagi kebanyakan umat Islam sudah menyimpang daripada niat asal. Ketika niat dibaca di dalam hati, ia diakhiri dengan 'kerana Allah Taala'. Namun, ramai yang tidak menghayati maksud sebenar di sebalik niat tersebut. Malah, ia tidak lebih daripada terjemahan daripada lafaz dalam bahasa Arabnya.

Berpuasa bukanlah semata-mata kerana ingin mendapatkan kesihatan yang lebih baik. Malah, hal ini tiada pun diniatkan dalam lafaz puasa. Namun, sedihnya itulah yang menjadi antara tujuan utama kebanyakan daripada kita berpuasa. Tidak kurang ada yang meletakkan sasaran jumlah kilogram berat badan yang perlu diturunkan selepas bulan Ramadan melabuhkan tirainya.

Yang perlu diberikan keutamaan adalah meletakkan sasaran untuk meningkatkan tahap ketakwaan terhadap Allah. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 183.

Ayat tersebut menjelaskan bahawa puasa diwajibkan agar orang-orang yang menjalankan kewajipan tersebut akan menjadi manusia yang bertakwa. Oleh itu, sepatutnya yang menjadi perbincangan hangat mengenai puasa adalah langkah-langkah untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan diri. Yang ditakuti adalah sekiranya niat asal berpuasa dikaburi oleh tujuan lain, iaitu antara lain untuk meningkatkan kesihatan.

Tidak dinafikan bahawa dengan meningkatnya kesihatan, ia boleh membantu kita untuk beribadah dengan lebih selesa lalu boleh meningkatkan ketakwaan.

Namun begitu, ketakwaan bukan hanya boleh ditingkatkan ketika kita sihat sahaja. Malah sekiranya diberikan dugaan oleh Allah dengan keuzuran, ia sepatutnya menjadikan seseorang Muslim lebih mengagungkan Allah. Ini kerana Allah yang memberikannya sakit, dan Allah juga yang memberikannya penawar.

Jadi, kita perlu membetulkan niat asal berpuasa dan mengimani dengan sebenar-benarnya tujuan Allah mewajibkan umat Islam berpuasa. Malah, puasa juga dijadikan salah satu dalam Rukun Islam. Sekiranya rukun itu tidak ditegakkan dengan niat yang sebenar-benarnya, maka akan rapuhlah pegangan agama kita.

Kita perlu melihat ibadah puasa dari sudut kerohanian jauh lebih mendalam berbanding sudut-sudut lain. Agak menyedihkan sekiranya puasa dipandang dari sudut fizikal semata-mata. Hal inilah yang menyebabkan ada dalam kalangan kita menjadikan puasa sebagai alasan untuk mengurangkan produktiviti dalam menjalani hidup seharian.

Justeru, kita perlu menghayati maksud sebenar di sebalik niat yang disematkan di dalam hati sepanjang menjalani ibadah puasa. Janganlah kita jadikan ia sekadar terjemahan kepada lafaz, tetapi kita perlu jadikannya sebagai fokus utama iaitu meningkatkan ketakwaan diri kepada Allah.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url