Buang bayi: Buat aduan melalui talian Nur

Masyarakat diharap dapat lebih proaktif membantu kerajaan menangani isu pembuangan bayi yang kian menular dengan membuat aduan terus ke Talian Nur 15999.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Talian Nur 15999 yang beroperasi selama 24 jam sehari itu boleh diakses oleh semua pelanggan untuk membuat aduan.

“Talian tersebut merupakan talian setempat yang diwujudkan sebagai pusat maklumat serta aduan untuk segala krisis masyarakat dan ia boleh dihubungi melalui talian tetap, telefon bimbit dan telefon awam,” katanya dalam kenyataan akhbar kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, talian khas itu bertujuan menyalurkan sebarang aduan, pertanyaan atau maklumat yang membabitkan isu-isu atau kes-kes sosial di sekeliling mereka.

“Antara perkhidmatan yang disediakan oleh Talian Nur 15999 adalah maklumat dan aduan mengenai isu-isu kebajikan, penderaan, perlindungan, kaunseling, masalah remaja dan pembuangan bayi,” jelasnya.

Talian Nur 15999 yang beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu itu dilancarkan pada 2007 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ia diwujudkan atas inisiatif kementerian berkenaan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan atau membuat pertanyaan berhubung isu-isu kebajikan, keluarga dan masyarakat.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url