Pekerja separa masa diwajib carum dalam KWSP, PERKESO

Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diwajibkan terhadap pekerja separa masa mulai 1 Oktober depan, hanya membabitkan mereka yang bekerja antara 30 hingga 70 peratus daripada waktu kerja biasa.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata hanya pekerja separa masa yang bekerja antara 2.5 hingga 5.5 jam sehari layak mendapat manfaat itu.

Katanya, peraturan baru itu tidak membabitkan semua pekerja berkenaan, tetapi hanya mereka yang memenuhi kriteria masa ditetapkan dalam peraturan baru itu.

Langkah ini bertujuan menggalakkan golongan berpendidikan atau berkemahiran tinggi, tetapi tidak boleh bekerja selama lapan jam, terutama suri rumah, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) atau pesara," katanya selepas menyampaikan sumbangan cermin mata kepada pelajar di Dewan Kampung Indah dekat sini, malam kelmarin.

Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 yang diwartakan baru-baru ini memberi jaminan faedah tertentu kepada kira-kira 6.5 juta orang yang ingin bekerja separa masa. Ia mengandungi formula yang menentukan pembayaran gaji, caruman KWSP dan PERKESO.

Subramaniam berkata, peraturan itu juga bermatlamat memberi motivasi kepada golongan tidak dapat bekerja tetap kerana terikat dengan komitmen tertentu supaya mempertimbangkan semula keputusan itu dengan bekerja separa masa.

Katanya, peluang itu bukan hanya memanfaatkan pekerja, malah menguntungkan majikan serta memastikan hak pekerja separa masa dilindungi dan mengelak sebarang pertikaian antara majikan dan pekerja mengenai tempoh masa kerja.
Sementara itu, beliau berkata, kementerian memandang serius kes kematian warga Nepal yang bekerja di kilang elektronik di Tebrau, Johor Bahru.

"Kita menyiasat kes itu bagi menentukan kebenaran dakwaan berkenaan. Majikan bertanggungjawab mewujudkan persekitaran kerja dan penjagaan kesihatan yang baik kepada pekerja. Jika ada unsur kecuaian atau tidak bertanggungjawab, kita akan ambil tindakan," katanya

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url