Top Ad 728x90

, ,

Hak agama Islam diperakui Perlembagaan

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia

Polemik pelaksanaan undang-undang hudud kembali mendapat tempat di kalangan ahli politik. Seperti biasa, beberapa tokoh DAP menentang pelaksanaan undang-undang berasaskan al-Quran itu dan PAS tanpa berselindung berhasrat melaksanakan hudud jika berada di tampuk pemerintahan. Sementara UMNO pula mengakui undang-undang itu, tetapi ingin melaksanakan secara berperingkat.

Apabila timbul persoalan sebegini, akan timbul pula persoalan sifat Perlembagaan Persekutuan sama ada sekular atau Islamik. Kepemimpinan MCA mempertikaikan kesahihan negara Islam dengan mengutarakan laporan Suruhanjaya Reid dan keputusan Mahkamah Agong mengatakan Perlembagaan Persekutuan bersifat sekular.

Polemik ini perlu diselesaikan secara ilmiah, profesional dan berhemah berdasarkan fakta sejarah serta hakikat kesinambungan sejarah yang berlaku di negara kita.

Walaupun mengikut sejarah, laporan Suruhanjaya Reid menyatakan kemasukan fasal Islam adalah agama bagi Persekutuan tidak menjejaskan sifat sekular Perlembagaan. Adakah kita terikat kepada hasrat penggubal Perlembagaan itu yang rata-ratanya bukan rakyat Malaysia dan tidak menghayati susun atur budaya tempatan.

Perkara ini dipolemikkan lagi apabila Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj juga berpendirian sedemikian. Malah, penghakiman Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar Che Soh mentafsirkan Islam dalam Perkara 3 terhad kepada aspek amalan dan rasmi saja.

Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memperuntukkan banyak fasal mengenai agama Islam. Umpamanya Perkara 3 menegaskan tanpa keraguan bahawa Islam adalah agama Persekutuan.

Negara sekular seperti Perancis, Turki dan India dengan jelas dalam perlembagaan negara itu adalah negara sekular tanpa merujuk kepada sebarang agama. Hal itu tidak berlaku dalam Perlembagaan dengan adanya Perkara 3. Malah perkataan sekular tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika Perlembagaan adalah sekular tentu Perkara 3 itu dihazafkan, malah ada banyak fasal lain yang memberi keistimewaan dan kedudukan tinggi agama Islam. Ia mustahil berlaku dalam sebuah negara yang mendokong sifat sekular.

Sebuah negara sekular tidak boleh mengeluarkan dana awam bagi perkembangan sesuatu agama kerana ia bertentangan prinsip sekularisme. Namun, di Malaysia, kerajaan Persekutuan dan negeri memperuntukkan ratusan juta ringgit bagi pengembangan dan kemajuan agama Islam, sama ada untuk pembinaan masjid, peruntukan jabatan berkaitan agama Islam dan banyak lagi.

Tindakan kerajaan selaras peruntukan Perlembagaan yang membenarkan dana awam digunakan bagi pembangunan agama Islam dan sekali gus menjadi bukti Islam mendapat tempat istimewa dalam Perlembagaan.

Perkara 11(4) Perlembagaan pula memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan membuat undang-undang mengawal dan menyekat penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam.

Adalah mustahil dalam negara bersifat sekular keistimewaan itu diberikan kepada sesebuah agama. Hal ini dengan sendiri menafikan hujah Perlembagaan adalah perlembagaan sekular.

Pindaan Perlembagaan pada 1988 menyatakan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa mengganggu keputusan Mahkamah Syariah, sekali gus menaikkan kedudukan agama Islam dan Mahkamah Syariah walaupun ada tidak berpuas hati dengan kedudukan ini. Sekali lagi keistimewaan diberikan kepada agama Islam.

Dalam banyak keadaan lain, agama Islam dirujuk dan diiktiraf termasuk dalam sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong menggunakan format dengan menyebut nama Allah seperti lafaz wallahi wabillahi watallahi.

Ia adalah sumpah syarie mengikut lunas undang-undang syariah. Dengan menggunakan nama Allah, kedua-dua baginda berazam akan mempertahankan agama Islam di negara ini pada setiap masa.

Dengan mengetepikan Islam, sudah tentu akan memecahkan sumpah Yang di-Pertuan Agong mempertahankan Islam. Malah Perdana Menteri dan kerajaannya juga wajib mempertahankan Islam sejajar sumpah itu. Mempertahankan Islam tanggungjawab Kerajaan.

DAP seharusnya menerima hakikat ini dan tidak berdolak dalik berselindung di bawah bayangan lampau. Adalah jelas Perlembagaan dan Malaysia bukan negara sekular kerana negara sekular memisahkan agama daripada perundangan dan pentadbiran.

Negara sekular meminggirkan agama tetapi Islam berulang kali disebut dalam Perlembagaan Persekutuan dan diberikan tempat yang tinggi. Beberapa kes diputuskan Mahkamah Persekutuan turut mengesahkan kedudukan istimewa agama Islam.

Kesimpulannya, Malaysia bukan negara sekular tetapi belum mencapai tahap menjadi sebuah negara Islam. Perkara ini tidak harus dibangkitkan lagi.

Apa yang penting ialah pengisian negara itu sama ada sejajar dengan Islam ataupun sebaliknya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90