Top Ad 728x90

Pesara tawar jual surat Pemasyhuran Kemerdekaan 1957


NIBONG TEBAL: Satu dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 yang ditandatangani Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertarikh 31 Ogos 1957 ditawarkan kepada sesiapa yang berminat membelinya pada harga RM65,553.

Pesara Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), Md Rouse Mohamad, 64, yang memiliki dokumen berkenaan, berhasrat menjualnya kepada Muzium Negara atau mana-mana individu berminat memilikinya sempena ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-53, esok.

Dokumen yang ditulis Jawi, antara lain menyebut negeri Melayu iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak serta Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka, diisytihar menjadi Persekutuan Tanah Melayu.
“Memang berat hati untuk menjualnya, tetapi bagi menyelamatkan warisan sejarah, saya sedia melakukannya bagi kepentingan generasi masa depan memperingati perjuangan Tunku Abdul Rahman bersama pemimpin Parti Perikatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Simpang Ampat di sini.

Md Rouse berkata, dokumen berkenaan diserahkan Tunku Abdul Rahman kepada Allahyarham bapanya, Mohamad Awang dalam satu majlis di pekarangan Kelab Setia Peranakan Bola Sepak Prai, Bagan Dalam, kira-kira jam 3 petang, 31 Ogos 1957.

Selain bapanya, tiga lagi pemimpin masyarakat di Kampung Bagan Dalam diberi dokumen berkenaan, malah Tunku Abdul Rahman juga menyerahkan 33 lagi dokumen sama kepada pemimpin lain di daerah lain di utara Semenanjung.

“Saya yang berusia 11 tahun menyaksikan sendiri Tunku Abdul Rahman menyerahkan dokumen berkenaan kepada bapa,” katanya.

Sebelum meninggal dunia pada 1968, Mohamad menyerahkan dokumen itu kepada Md Rouse dan meminta disimpan dengan baik untuk ditunjukkan kepada generasi akan datang.

Beliau yang tidak ada anak, manakala isterinya, Besah Selamat, 55, pula menghidap penyakit kencing manis, berhajat menjual dokumen itu.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Md Rouse di talian 017-4580328.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90