Hutan Lipur Puncak Janing ditutup

KUALA NERANG: Kawasan Hutan Lipur Puncak Janing, dekat sini ditutup kepada orang ramai sejak hampir sebulan lalu selepas air Sungai Janing, di situ dikesan tercemar oleh kuman `leptospirosis' atau kencing tikus.

Penutupan itu bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan berikutan ada kes sebelum ini yang membabitkan pengunjung yang baru pulang berkelah di pusat rekreasi berkenaan mengalami tanda-tanda dijangkiti penyakit kencing tikus, bulan lalu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Marzuki Md Isa, berkata penutupan hutan lipur itu mungkin mengambil masa sehingga seminggu atau dua minggu lagi untuk memudahkan pihak berkuasa menyiasat tahap kebersihan air sungai berkenaan.

“Jika ada penduduk yang menggunakan sumber air berkenaan untuk kegunaan harian mereka, kita nasihatkan mereka memasak air terlebih dulu sebelum minum.

“Bagi mereka yang menggunakan air sungai itu untuk mandi, risiko dijangkiti kuman itu juga boleh berlaku.

“Kita nasihatkan orang ramai yang menggunakan air sungai itu dan mengalami tanda-tanda sakit kepala atau demam berpanjangan supaya mendapatkan segera rawatan di klinik kesihatan atau hospital,” katanya ketika dihubungi mengenai penutupan kawasan perkelahan itu, semalam.

Dr Marzuki bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan mangsa yang dijangkiti penyakit itu dan memberitahu ada juga pesakit yang kini menjalani rawatan di hospital.
Kes itu adalah yang kedua berlaku di negara ini selepas Pusat Rekreasi Lubuk Yu di Maran, Pahang dikesan dicemari wabak kencing tikus yang meragut tujuh nyawa bulan lalu.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian di hutan lipur itu mendapati kawasan terbabit dipasang tali oleh Jabatan Perhutanan Kedah serta beberapa notis amaran kepada pengunjung ditampal di situ untuk memaklumkan ia ditutup sejak 8 Julai lalu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Difahamkan, kira-kira 1,000 penduduk di dua kampung berhampiran kawasan berkenaan, iaitu Kampung Pasir Putih dan Kampung Baru juga terpaksa menggunakan sumber air sungai berkenaan untuk minum dan kegunaan harian.

Tinjauan semalam turut mendapati ramai pengunjung datang ke pusat rekreasi itu untuk berkelah, tetapi terpaksa pulang selepas membaca notis larangan berkelah yang ditampal di situ.

Seorang pengunjung, Musa Mustafa, 20, dari Sungai Petani berkata, dia dan dua rakannya datang ke kawasan perkelahan itu untuk berkelah, bagaimanapun hampa dan terkejut selepas mendapat tahu punca penutupan pusat rekreasi itu.

“Apabila terbaca notis larangan itu, saya dan rakan terpaksa mengubah rancangan dan tidak jadi berkelah kerana bimbang dijangkiti wabak berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Penduduk Kampung Pasir Putih, Mohd Alias Mustafa, 19, berkata, air sungai berkenaan menjadi kegunaan seharian penduduk dua kampung di situ untuk minum dan mencuci pakaian kerana ia satu-satunya sumber air bersih yang terdapat di sekitar kawasan itu.

“Kami tidak mempunyai pilihan kerana hanya bekalan air dari sungai itu saja yang ada untuk kegunaan harian,” katanya.

Lubuk Yu disah bebas ancaman bakteria

KUANTAN: Kerajaan Pahang semalam mengesahkan Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran bebas daripada ancaman bakteria Melioidosis dan Leptospirosis selepas tiada lagi kes baru dikesan sehingga Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun, bagaimanapun berkata, pusat rekreasi itu akan terus ditutup kepada orang ramai sehingga kajian mengenai wabak itu selesai.

Beliau berkata, pengumuman itu dibuat berdasarkan tempoh inkubasi terpanjang di mana kemungkinan untuk mendapatkan jangkitan adalah 28 hari selepas pendedahan kepada bakteria terbabit.

“Kita tidak lagi menerima kes baru selepas Rabu lalu dan jumlah kes yang disyaki masih kekal 22, termasuk tujuh kematian dan dua pesakit masih dirawat di hospital.

“Kerajaan tidak akan tergesa-gesa membuka semula pusat rekreasi Lubuk Yu kerana masih banyak kajian perlu dilakukan bagi memastikan pusat ini disahkan bebas daripada bakteria berbahaya itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2010 peringkat negeri di Wisma Belia, Indera Mahkota di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Rosnah Ismail.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan seramai tujuh individu termasuk penduduk kampung yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di Lubuk Yu, maut akibat jangkitan Melioidosis dan Leptospirosis.
Beliau berkata, daripada 22 kes yang dilaporkan itu, enam kes disahkan dijangkiti bakteria Melioidosis, empat kes jangkitan kedua-dua bakteria dan 11 kes disahkan negatif manakala satu kes lagi tidak diambil sampel iaitu kes yang mati di rumah.

Sementara itu, Dr Rosnah berkata, Jawatankuasa Kecil Teknikal yang diwujudkan Kementerian Kesihatan masih menganalisis kajian terhadap beberapa sampel tanah dan air yang diambil di pusat rekreasi itu.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url