Qari Mesir, qariah Pakistan johan tilawah antarabangsa 2010
Qari dari Mesir, Hani Abdel Aziz Ahmed dan qariah dari Pakistan, Samia Khanan masing-masing muncul johan qari dan qariah majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52, yang berakhir malam tadi.
Hani memperoleh markah 91.46 peratus, manakala Samia mendapat 91.08 peratus markah.
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM33,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Tempat kedua bahagian qari dimenangi Wan Ainuddin Abdullah dari Malaysia yang mendapat 90.75 peratus markah dan ketiga, Abdul Wadoud K Esmail dari Filipina yang memperoleh 89.63 peratus markah.
Tempat kedua bahagian qariah pula dimenangi Dayang Nurfaezah Emran dari Brunei yang mengumpul 90.17 peratus markah, manakala tempat ketiga Monaifah A Bogabong Alawi dari Filipina yang mendapat 88.75 peratus markah.
Qariah Malaysia, Nur Azrah Ayub menduduki tempat keempat dengan memperoleh 88.71 peratus markah.
Naib johan kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai berjumlah RM23,100 (AS$7,000), cenderamata dan sijil penyertaan, manakala pemenang tempat ketiga menerima wang tunai RM13,200 (AS$4,000), cenderamata dan sijil penyertaan.
Semua peserta lain menerima hadiah sagu hati berjumlah RM4,950 (AS$1,500), cenderamata dan sijil penyertaan.
Seramai 72 peserta dari 45 negara mengambil bahagian dalam tilawah tahun ini bertemakan ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ yang berlangsung selama lapan hari bermula 27 Julai lalu.
Jumlah penyertaan tahun ini meningkat berbanding 66 peserta dari 43 negara tahun lalu. Empat negara yang pertama kali menghantar peserta ialah Kazakhstan, Surinam, Zambia dan Djibouti.
- BERITA HARIAN