Ibu bapa dipinggir kerana wang
Kebanyakan ibu bapa sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan anak-anak mereka mendapat perlindungan dan penjagaan yang terbaik.
Namun, nasib yang sama belum tentu diterima ibu bapa. Apabila usia mereka mula meniti senja, mereka dilupakan begitu sahaja.
Sikap segelintir anak itu umpama Si Tanggang dalam dongeng Melayu yang melupakan ibu bapanya yang sudah tua setelah dia menjadi kaya dan berkahwin dengan puteri raja.
Satu kajian yang dijalankan beberapa pensyarah Institut Kajian Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati dengan bilangan warga emas (60 tahun ke atas) bakal mencapai jumlah 2.2 juta orang menjelang tahun 2020, jumlah anak derhaka juga dijangka bertambah.
Menurut hasil kajian 'Keperluan Sokongan Emosional Dalam Kalangan Anak Dewasa Yang Menjaga Warga Tua', lebih banyak rumah penjagaan orang tua akan tumbuh di negara ini dalam tempoh 10 tahun lagi.
Pada masa ini wujud 11 buah institusi penjagaan warga emas di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat dan puluhan lagi milik pihak swasta.
Pertambahan itu didorong oleh sikap anak-anak muda zaman moden yang memiliki kecenderungan lebih tinggi untuk menempatkan ibu bapa mereka di rumah-rumah penjagaan warga emas.
Ketua Penyelidik kajian itu, Prof. Dr. Rahim M. Sail berkata, masalah kewangan di kalangan anak-anak menyebabkan mereka mengambil langkah mudah dengan menjadikan ibu bapa sebagai 'korban' pengawalan perbelanjaan keluarga masing-masing.
"Mereka tak mahu dihantar ke rumah orang tua kerana mereka tidak mahu anak-anak mereka menjadi anak derhaka.
"Kalau tinggal dengan anak-anak, kasih sayang lebih utuh dan mereka tahu apa yang ibu bapa hendak. Kita pun tahu apa yang mereka mahu," kata Rahim ketika ditemui Kosmo! ditemani seorang lagi penyelidik bersama, Dr. Khadijah Alavi baru-baru ini.
- KOSMO!