Top Ad 728x90

, , ,

Kita boleh hancur jika mainkan isu perkauman - Perdana Menteri


Datuk Seri Najib Razak berkata, masyarakat tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan dirosakkan oleh budaya kejumudan serta sikap melampau menerusi isu perkauman dan agama.

“Segala yang kita capai, segala apa kita bina dan segala apa yang kita hargai boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada,” kata Perdana Menteri dalam perutusan Hari Kemerdekaan Ke-53 yang disambut hari ini.
Beliau juga berkata, sudah tiba giliran generasi sekarang untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi, manakala cabaran sebenar rakyat Malaysia hari ini adalah untuk mengubah negara supaya menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Katanya, bagi memastikan cita-cita itu dicapai, kerajaan sudah memaku asas yang kukuh dalam bentuk pelan transformasi kerajaan (GTP) dan pelan transformasi ekonomi (ETP) sebagai pelan hala tuju yang jelas ke arah matlamat mulia itu.

Beliau berkata, kejayaan mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana, adalah hasil iltizam, perancangan dan kerja keras kerajaan bersama rakyat dengan berpegang kepada falsafah untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembaharuan.

“Hasil perasaan tidak mahu berpuas hati terhadap status quo sedia ada dan kesanggupan berubah serta pendahulu kita sudah membawa Malaysia ke arah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai sebuah negara.
“Hari ini, tibalah giliran generasi kita untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Persoalannya, beranikah kita untuk memecah tradisi bagi mencapai hasil yang melampaui kebiasaan,” katanya.

Menyingkap perjuangan tokoh ternama negara, Najib berkata, bapa kepemimpinan negara tidak pernah berpuas hati untuk menerima keadaan seadanya walau sebesar manapun cabaran yang melanda.

“Mereka sentiasa mendambakan dan berusaha ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, setiap anak Malaysia penting dan berkemampuan menyumbang kepada penciptaan kemakmuran serta kesejahteraan nasional dan sudah tiba masanya untuk memanfaatkan sepenuhnya bakat tempatan yang ada.

“Alangkah ruginya negara jika bakat yang kita latih dengan susah payah, berhijrah bagi mencari padang yang lebih subur, hanya dek kegagalan kita mengadakan persekitaran terbaik untuk mereka menyumbang. Fenomena globalisasi bukan saja menyaksikan pengaliran mudah modal dan teknologi merentas sempadan, malah membabitkan pengaliran bebas modal insan,” katanya.

Najib berkata, bagi mencapai matlamat masa depan yang lebih baik, Malaysia mesti mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan selama ini.

“Untuk itu, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum seperti yang terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial nasional,” katanya.

Najib turut mengingatkan rakyat bahawa kerajaan amat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang ada daripada ancaman dalaman dan luaran.

“Ingatlah bahawa Malaysia adalah tanah tumpah darah kita... di sini kita dilahirkan... di sini kita membesar... di sini kita mencari rezeki... di sini kita mencipta kebahagiaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan... kita akan bersemadi,” katanya.

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini beliau meminta warga Malaysia sama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk menjadikan Malaysia negara yang terbaik.

“Demi masa depan anak kita, kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat,” katanya.

– BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90