Top Ad 728x90

Mahu tarik perhatian ramai - Namewee

Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee berkata, dia menggunakan kata-kata kesat dan lucah dalam pembikinan klip video kontroversinya untuk menarik perhatian ramai.

Menurut pemuda yang berusia 27 tahun dan berasal dari daerah ini itu, klip video yang berjudul, Namewee F*** Racism Malaysia Nah!!!, dibuat sedemikian bagi mengajak orang ramai supaya tidak rasis.

Dia yang pernah mencetuskan kontroversi kerana klip videonya berjudul 'Negarakuku' yang menghina pelbagai institusi di negara ini sebelum ini berkata, klip video itu adalah saluran untuknya menyampaikan rasa antiperkauman.

"Lagu ini antirasis, kata-kata itu akan tarik perhatian, ia bukan publisiti, saya orang Malaysia, saya antirasis...1Malaysia!'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, Namewee berkata, dia bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak polis ekoran penerbitan klip videonya yang dikatakan boleh menyemarakkan api perkauman.

Semalam Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihak polis akan membuka kertas siasatan terhadap Namewee mengikut Akta Hasutan 1948 dan tidak teragak-agak bertindak ke atas mana-mana individu yang didapati sengaja mencetuskan isu perkauman dan ketenteraman awam.

Isu Namewee mendapat liputan umum selepas Puteri UMNO mendesak kerajaan bertindak tegas terhadapnya kerana mengulangi perbuatan biadab dengan menerbitkan klip video yang menyentuh mengenai seorang pengetua yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman.

Klip video terbaru itu dipercayai bertujuan mengutuk seorang pengetua sekolah menengah di Kulaijaya yang dilaporkan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolahnya pada 12 Ogos lalu.

Namewee dalam klip video itu antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.

Selain itu Namewee yang turut mempersendakan ibadat puasa dalam klip video di laman web Youtube, berulang kali menunjuk isyarat lucah serta mencarut.

Namewee memberitahu, selain menyentuh isu pengetua di Kulaijaya, dia mahu orang ramai membuka mata mengenai realiti kehidupan di negara ini serta pelbagai isu perkauman yang berkait rapat.

"Saya sudah beri penjelasan terhadap semua isu ini dalam laman Facebook saya," katanya yang juga mempunyai laman blog iaitu http://namewee.blogspot.com/.

Dalam entri bertarikh 28 Ogos pada blog itu, Namewee antaranya menyebut video klip tersebut dibuat bagi mempertahankan perlembagaan sebenar dan mengutuk sesiapa yang tidak menghormati usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membina negara 1Malaysia.

Kenyataannya dalam laman blog itu juga menyebut klip video berkenaan sudah ditarik balik kerana dia telah pun mencapai matlamat menyampaikan rasa antiperkauman.

Sementara itu, bapa Namewee, Wee Ann Chee, 50, ketika dihubungi berkata, dia memilih untuk berdiam diri dan tidak mahu memberi sebarang komen mengenai kontroversi anaknya kali ini.

"Tiada apa hendak komen, dalam konsep 1Malaysia tiada apa yang beza, semua 1Malaysia,'' katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90