Top Ad 728x90

,

Teknik cahaya terap mesej kemerdekaan ke-53


Sambutan kemerdekaan kali ini agak unik berbanding sebelumnya kerana pertama kali diadakan di dalam stadium dengan menggunakan teknik pencahayaan dan imbasan lantai bagi menyampaikan mesej 1Malaysia kepada penonton.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pelbagai persembahan akan dipersembahkan kira-kira 9,000 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut universiti, kakitangan swasta dan pasukan beruniform.
Kira-kira 15,000 orang dijangka membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil pada Selasa ini bagi memeriahkan sambutan itu yang berteraskan gagasan 1Malaysia.

“Komponen seperti Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan transformasi kerajaan juga akan diselitkan dalam persembahan kali ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 di stadium itu, semalam.

Beliau berkata, sambutan dalam stadium lebih mudah dan terkawal berbanding di luar memandangkan ia jatuh pada Ramadan.

“Mesej 1Malaysia melalui seni pencahayaan juga dapat ditonjolkan dengan jelas, malah masa persembahan juga lebih panjang dengan pengisian lebih tepat,” katanya.
Rais berkata, sepanjang pengalamannya lima tahun mempengerusikan jawatankuasa penganjur, persembahan kali ini kreatif kerana banyak menggunakan elemen penataan cahaya, bunyi dan penggunaan laser untuk memperjelaskan semua mesej yang terkandung dalam semua lapan segmen yang ditampilkan.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan kapasiti stadium agak terhad, satu skrin gergasi akan dipasang di luar stadium bagi mereka yang tidak dapat memasuki stadium.

Rais turut menggesa rakyat untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang selepas sambutan kemerdekaan bagi menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini yang akan disambut di Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata, semua pemimpin parti politik turut dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Hari Kemerdekaan.

Antara yang dijemput ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Turut dijemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90