Tempah kad raya istimewa


Semakin teknologi maklumat berkembang, semakin manusia melupakan tradisi yang suatu waktu dahulu menjadi aktiviti wajib setiap kali Lebaran menjelma. Apa lagi kalau bukan tradisi menghantar kad raya kepada insan tersayang.

Sejak beberapa tahun ini, e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadi pengganti kad raya untuk menyampaikan ucapan Aidilfitri dan memohon maaf sesama Muslim. Walaupun dilihat lebih mudah, ternyata kaedah itu kurang mempunyai nilai sentimental.

Apa kata tahun ini, kita beralih angin apabila mencuba kembali tradisi lama dengan menghantar kad hari raya tetapi, lebih kreatif dan eksklusif.

Layari blog lovelyhandmadecards.blogspot.com untuk melihat bagaimana Noorfaizyan Abd. Musa, 24, yang mesra disapa Yan menghasilkan kad kreatif untuk dijual kepada mereka yang sukakan kelainan.

Bukan sahaja kad hari raya, kad jemputan perkahwinan, pertunangan, majlis hari jadi dan sebagainya mampu disiapkan dalam masa tertentu mengikut jumlah tempahan oleh pelanggan.

Menurut Yan, kad kreatifnya mendapat tempahan yang memberangsangkan dari seluruh negara malah, dia pernah menerima tempahan daripada rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK).

"Pelanggan saya terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Saya pernah menerima tempahan daripada pelajar sekolah rendah sehinggalah pelajar universiti dan kakitangan kerajaan.

"Ramai membuat tempahan kerana mahukan kelainan berbanding kad-kad biasa yang dijual di pasaran selain mahukan reka bentuk dan corak yang memenuhi cita rasa masing-masing," katanya.

Dalam pada itu katanya, dia tidak tergesa-gesa menyiapkan sesuatu tempahan bagi menjamin kualiti kad apatah lagi dia bekerja sepenuh masa dan perlu membahagikan masa secara bijak.

"Saya menyiapkan tempahan selepas waktu kerja atau cuti hujung minggu sahaja. Selain itu, saya memerlukan masa sehingga dua hari untuk memastikan kad yang dibuat benar-benar berkualiti dan memenuhi kriteria yang dimahukan.

"Oleh itu, pelanggan mestilah meletakkan deadline dan membuat tempahan lebih awal supaya saya tidak perlu menolak pesanan yang dibuat pada saat-saat akhir," katanya.

Harga berpatutan

Walaupun dibuat dengan teliti dan menggunakan tangan sepenuhnya, harga kad yang dijual oleh Yan amat berpatutan iaitu sekitar RM7 hingga RM16, tidak termasuk kos penghantaran.

"Harga bergantung kepada corak, saiz dan bahan-bahan yang digunakan, selain kuantiti pesanan," katanya.

Ini kerana Yan turut menerima tempahan dalam bentuk bundle terutama bagi kad jemputan majlis tertentu seperti majlis hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan pertunangan.

"Saya pernah menerima tempahan sehingga 100 keping kad untuk seorang pelanggan yang ingin mengadakan majlis ulang tahun perkahwinan.

"Malah, saya juga mempunyai pelanggan tetap yang akan menempah kad kreatif daripada saya untuk apa sahaja sambutan," katanya.

Kata Yan, bagi tempahan yang banyak, dia turut mendapatkan bantuan adik-adiknya yang mempunyai minat yang sama. Bagaimanapun, tujuan utama Yan bukanlah untuk mencari keuntungan.

"Walaupun menerima banyak tempahan, kadangkala saya terpaksa menolaknya kerana tidak mahu menghampakan pelanggan sekiranya tidak dapat menyiapkan tempahan yang banyak.

"Lagipun tujuan saya membuat kad kreatif adalah disebabkan hobi dan minat saya pada kertas yang berwarna-warni," katanya yang boleh penghantaran secara langsung bagi pelanggan yang tinggal di Putrajaya dan Melaka.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url