Pembanci Hadapi Masalah Sikap Masyarakat Cina
Beliau berkata terdapat antara mereka mengatakan mereka tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris.
"Rungutan kebiasaannya datang dari masyarakat Cina yang mengatakan mereka hanya tahu berbahasa Mandarin.
"Itu tidak harusnya terjadi kerana kita sebagai rakyat Malaysia, sebagai penduduk Malaysia sejak Merdeka hampir 53 tahun, sudah pasti tahu untuk menggunakan salah satu bahasa itu," katanya.
Borang soal selidik yang mengandungi 51 soalan dengan empat bahagian dibuat dalam dua bahasa Melayu dan Inggeris.
Banci 2010 dijalankan dalam tiga fasa dan kini ia berada terakhir yang sedang berlangsung bermula pada 7 Ogos berakhir 22 Ogos ini.
Fasa I dan II telahpun dijalankan, masing-masing dari 6 Julai hingga 22 Julai dan 23 Julai hingga 6 Ogos lalu.
Wan Ramlah berkata bahawa dalam Fasa I Banci 2010, 70 peratus daripada mereka yang tidak memberikan respon adalah masyarakat Cina.
"Kita bukan mahu bersikap perkauman dalam mendedahkan masalah ini. Perdana Menteri sendiri menyatakan Konsep 1Malaysia adalah untuk kebaikan semua kaum.
"Kalau kita mahu laksanakan konsep ini untuk semua, ia mesti ikut statistik berdasarkan kaum dan kumpulan etnik," katanya.
Wan Ramlah berkata Jabatan Perangkaan terpaksa mendapatkan kerjasama media berbahasa Cina, petugas jabatan berbangsa Cina dan persatuan-persatuan mewakili masyarakat itu bagi memberi respon kepada pembanci.
"Malah, seperti apa yang berlaku di Johor, hampir setiap hari muka Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri Johor, Tiew Chin Tong, terpampang di surat khabar Cina bagi memberi penerangan tentang pentingnya pembancian ini," katanya.
Wan Ramlah berkata masyarakat Cina tidak boleh mengatakan mereka tidak memahami soalan yang disediakan kerana kebanyakan mereka tinggal di bandar dan mendapat akses kemudahan pendidikan.
"Kita faham sekiranya ia melibatkan masyarakat seperti Iban, Kadazan, Murut yang berada di Sabah dan Sarawak yang kurang mendapat akses pendidikan," katanya.
Menurut Wan Ramlah, jabatan telah menyediakan pembanci daripada kalangan masyarakat setempat bagi membantu penduduk di Sabah dan Sarawak mengisi borang soal selidik, dengan menggunakan bahasa mereka sendiri.
"Kita bimbang komuniti di daerah tertentu seperti ini, bukan saja Cina, tidak akan diambil kira) jika mereka tidak respon, dan kibatnya, pembangunan di tempat tertentu tidak dapat dilaksanakan dengan tepat kerana masalah penduduk yang tidak dapat dikira ini.
"ini juga melibatkan negeri lain. Kalau negeri itu tidak mahu respon, mereka akan rugi," katanya.
Masalah sikap ini juga telah dialami sendiri oleh Wan Ramlah apabila ketika membuat tinjauan, beberapa ekor anjing dilepaskan bagi menghalang pembanci mendekati rumah.
Beliau berkata jabatan boleh mengambil tindakan terhadap orang ramai yang enggan memberi kerjasama berdasarkan Akta Banci 1960.
"Mengikut undang-undang, orang ramai dikehendaki beri kerjasama. Ramai penduduk yang tidak tahu tentang tindakan yang boleh diambil ini. Jika kami ingin ambil tindakan, sememangnya boleh," katanya.
Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan, sejumlah 28.3 juta penduduk dan 7.5 juta tempat kediaman di Malaysia akan dibanci.Setiap fasa akan membanci 2.5 juta tempat kediaman dan setakat Fasa I, 2.4 juta tempat kediaman telah dibanci, kata Wan Ramlah.
Kos Banci 2010 adalah sebanyak RM200.2 juta di mana kira-kira 26,000 pembanci dan 3,000 penyelia pembanci sedang berada di seluruh negara untuk melakukan pembancian ini.
- BERNAMA