Top Ad 728x90

Tune Money tawar insurans raya RM10

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Meningkatnya kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri mendorong Tune Money Sdn. Bhd. (Tune Money) melancarkan produk perlindungan semasa pulang ke kampung halaman dikenali Tune Raya Takaful.

Produk hasil kerjasama dengan Hong Leong Tokio Marine Takaful Bhd. (HLTM) itu yang dilancarkan di sini baru-baru ini menawarkan perlindungan kemalangan dan kediaman kepada pelanggan yang mendaftar pada harga serendah RM10.

Menurut Ketua Insurans Tune Money, Wong Kam Peng, pertambahan dalam bilangan kemalangan jalan raya pada musim perayaan menyebabkan pihaknya untuk mewujudkan insurans khusus bagi melindungi orang ramai sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung.

''Berdasarkan kepada statistik, laporan kemalangan jalan raya tahun lalu sahaja mencatatkan sebanyak 246 kematian dan tidak termasuk kes kemalangan yang menyebabkan kecacatan kekal dan sebagainya.

''Jadi, kami merasakan bertanggungjawab untuk membekalkan pelanggan-pelanggan kami dengan produk insurans yang memberi perlindungan kepada mereka di waktu paling kerap berlakunya kemalangan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Kam Peng, selain menyediakan perlindungan diri, produk itu juga turut memberi perlindungan terhadap kediaman pelanggan mereka berhari raya di kampung.

Katanya, tanpa mengira kaum, produk insurans Islam pertama Tune Money itu boleh dilanggan oleh semua kaum sehingga 15 September ini untuk tempoh perlindungan sehingga 31 Oktober depan.

Tune Raya Takaful menawarkan tiga skim perlindungan yang terdiri daripada skim 1 iaitu tempoh perlindungan selama 15 hari bermula dari hari pelanggan pulang ke kampung dengan sumbangan sebanyak RM10, skim 2 pula bagi tempoh perlindungan 30 hari dengan bayaran RM20 dan skim 3 yang memberi perlindungan selama 45 hari dengan kadar bayaran RM30.

Ia menyediakan perlindungan kepada sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri dan juga tiga orang anak yang mana jika pelanggan mempunyai lebih dari tiga orang anak, bayaran tambahan RM1.50 akan dikenakan.

Menerusi produk itu, jika berlaku kemalangan yang mengakibatkan kematian dan kecacatan kekal sewaktu tempoh perlindungan tersebut, pelanggan atau waris pelanggan layak menerima RM10,000 bagi kategori dewasa dan RM5,000 untuk kanak-kanak.

Jika berlaku kebakaran atau rompakan di rumah pemegang insurans itu sewaktu tempoh perlindungan, pelanggan akan diberi pampasan sebanyak RM2,000 bagi skim 1, RM2,500 bagi skim 2 dan RM4,000 untuk skim 3.

Selain itu, produk itu juga menawarkan perkhidmatan upah haji kepada mereka yang beragama Islam terlibat dalam kemalangan maut sewaktu tempoh perlindungan yang mana RM2,500 daripada RM10,000 yang diterima waris akan digunakan untuk perkhidmatan itu.

Kam Peng berkata, kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan perlindungan insurans keluarga kini masih rendah dan rata-rata mereka masih tidak memahami konsepnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HLTM, Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sambutan yang diterima oleh produk tersebut amat menggalakkan.

''Kami memilih untuk bekerjasama dengan Tune Money untuk mengeluarkan produk ini kerana mendapati ia merupakan platform terbaik untuk mendekati generasi muda yang mana rata-rata pelanggan Tune Money berada dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun.

''Selain itu, penyediaan perkhidmatan secara dalam talian juga menjadi faktor kami bekerjasama dengan Tune Money kerana ia memudahkan lagi proses pendaftaran pelanggan,'' katanya.

Menurut Abdul Latiff, sejak dilancarkan Julai lalu hingga hari ini, Tune Raya Takaful telah berjaya menarik 1,041 orang melanggan Tune Raya Takaful.

Katanya, tempoh pendaftaran masih terbuka sehingga 15 September ini dan beliau menyasarkan penambahan sehingga 5,000 orang pelanggan berdaftar menjelang tarikh tersebut.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90