Top Ad 728x90

,

BSN sasar agih RM300 juta

Keupayaan penerimanya terus berkembang merupakan antara penekanan diberikan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam meluluskan pembiayaan mikro untuk memastikan pinjaman itu dimanfaat sewajarnya.

Naib Presiden Ketua Jabatan Mikro Kewangannya, Nilammasri Ja'afar berkata, seperti yang diketahui umum, pembiayaan mikro terdiri daripada peniaga-peniaga kecil yang tidak mempunyai pendidikan tinggi dan dokumen perniagaan yang lengkap dan teratur untuk mendapatkan pinjaman.

''Sehubungan itu, kami telah mengambil inisiatif sendiri dengan memberikan latihan sewajarnya kepada peminjam dalam mendapatkan pinjaman dan menguruskan dana yang diterima.

''Ini adalah salah satu cara kami mendekati pelanggan dan menjaga hubungan baik tersebut, selain sering melawat mereka dan memberikan khidmat nasihat. Modul latihan keusahawanan ini adalah asas perniagaan tetapi ianya penting,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Pinjaman mikro diberikan kepada pengusaha kecil dengan pulangan jualan tidak melebihi RM200,000 setahun dan mempunyai bilangan pekerja tidak melebihi lima orang untuk sektor perkhidmatan.

Manakala bagi sektor pembuatan pula adalah pulangan jualan sebanyak RM250,000 dengan jumlah pekerja sama.

Pinjaman diberikan pada kadar minimum sebanyak RM5,000 hingga RM50,000, dengan kadar faedah efektif antara 14 peratus hingga 17 peratus.

Tambah Nilammasri, hanya peminjam yang layak dipilih untuk menyertai program sehari dengan latihan diberikan oleh konsultan luar yang dilantik.

''Latihan tersebut diadakan di pusat latihan BSN dan pada satu-satu masa seramai 30 peserta akan menyertai program itu.

''Untuk separuh kedua tahun ini kami menyasarkan untuk mengadakan lima atau lapan latihan dan semua perbelanjaan ditanggung oleh BSN,'' jelasnya.

Selain itu, kelebihan pembiayaan mikro BSN adalah pemberian rebat satu hingga tiga peratus kepada peminjam yang membayar balik pinjaman mengikut jadual dan tanpa tunggakan.

''BSN memberikan rebat ini bagi menggalakkan peminjam membayar mengikut waktu ditetapkan. Dua peratus rebat diberikan pada kadar faedah kepada mereka yang membayar tepat pada waktunya.

''Dalam pembiayaan mikro BSN, kami juga mempunyai unsur tabungan sekiranya mereka mempunyai tabungan dan membayar pinjaman tepat pada waktunya, peminjam itu layak menerima rebat sebanyak tiga peratus,'' katanya.

Nilammasri berkata, sejak dilancarkan pada 2007, BSN telah mengagihkan pinjaman lebih daripada RM230 juta kepada 15,000 peminjam.

Permohonan yang diterima oleh BSN sejak penubuhan skim ini bernilai RM1 bilion tetapi bukan semua permohonan dapat diproses dan diluluskan, katanya.

''Kadar penolakannya agak tinggi, permohonan itu tidak dapat diproses sekiranya risiko kredit mereka tinggi dan tidak memenuhi kriteria pinjaman yang ditetapkan.

''Oleh sebab pinjaman yang diberikan datangnya daripada dana kami sendiri, BSN perlu berhati-hati terutama dalam proses menawarkan pinjaman tanpa sebarang cagaran,'' tambahnya.

Pada tahun ini, BSN menyasarkan pengagihan pinjaman hampir RM300 juta ketika berlakunya kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) adalah tinggi.

Sambil menyatakan pihak bank akan lebih telus membuat penilaian pinjaman, Nilammasri menambah, mereka akan terus mengadakan promosi untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan mengetahui mengenai produk tersebut.

Ini termasuk mengadakan promosi bulanan dan ceramah kepada peniaga dan pasaran sasaran, membuka kiosk penerangan di kawasan tumpuan selain di cawangan-cawangan BSN dan pusat-pusat pinjaman mereka, katanya.

''Kami juga akan memantau peminjam dengan turun ke padang bertemu dengan mereka. Dari segi kutipan pinjaman pula, BSN mempunyai sistem kutipan bergerak dengan pegawai kami akan pergi kepada peminjam dan menerima bayaran dengan resit dikeluarkan dengan serta merta,'' jelasnya.

Buat masa ini, BSN tidak mempunyai masalah besar dalam NPL bagi pembiayaan mikro ini kerana terdapat pemantauan pegawai terhadap peminjam, jelasnya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90