Top Ad 728x90

,

Buku dedah kehidupan ejen Britain


LONDON - Agensi Perisikan Britain, MI6 menerbitkan biografi pertamanya, MI6 The History of the Secret Intelligence Service 1909-1949 semalam yang melibatkan sejarah awal penubuhan agensi berkenaan.

Buku tersebut turut mendedahkan kehidupan sebenar ejen perisik dan pembelot yang sebelum ini cuma disajikan kepada umum menerusi filem James Bond.

Buku berkenaan ditulis oleh Profesor Keith Jeffrey yang merupakan pakar sejarah Universiti Queen's, di Belfast, Ireland Utara.

Beliau diberi akses untuk memasuki arkib MI6 sejak agensi itu ditubuhkan pada 1909 sehingga permulaan Perang Dingin pada 1949.

Buku tersebut menceritakan bagaimana ejen-ejen MI6 meletupkan beberapa buah kapal dan membolos masuk ke wilayah Eropah yang dikuasai rejim Nazi dan Kesatuan Soviet (USSR) tetapi mereka masih dapat mencari masa untuk berseronok dan menggoda wanita.

Selain itu, ia turut mengesahkan buat kali pertama bahawa tiga penulis terkenal Britain iaitu Graham Greene, W. Somerset Maugham dan Arthur Ransome merupakan ejen MI6.

Menceritakan pengalaman semasa menulis buku tersebut, Jeffrey memberitahu bahawa beliau diberi kebenaran untuk melihat fail-fail lama MI6 yang tidak didedahkan dan tidak akan didedahkan kepada umum.

"Perasaan saya apabila melihat fail-fail sulit MI6 adalah seperti seorang ejen perisik yang membolos masuk ke negara asing," katanya pada sesi pelancaran buku setebal 810 muka surat itu di Pejabat Hal Ehwal Luar dan Komanwel di sini.

Seorang ejen MI6 yang diceritakan dalam buku itu, Bill "Biffy" Dunderdale, merupakan sahabat karib penulis novel James Bond, Ian Fleming.

Buku berkenaan mendedahkan bahawa minat Dunderdale terhadap kereta sport dan wanita memberi cetusan idea kepada Fleming berhubung watak ejen 007 itu.

Namun, kata Jeffrey, kepercayaan ramai bahawa ejen MI6 mendapat 'lesen untuk membunuh' yang membolehkan mereka membunuh dengan sewenang-wenangnya adalah mitos semata-mata.

Menurutnya, agensi berkenaan cuma terbabit dalam dua kes pembunuhan haram sepanjang tempoh liputan buku tersebut.

Bagaimanapun, ejen-ejen MI6 pernah mengebom lima buah kapal dalam 'Operasi Malu' yang dilancarkan bagi menghalang lebih ramai pelarian Yahudi daripada belayar ke wilayah Palestin yang ketika itu dikuasai Britain.

MI6 turut mengintip sekutu mereka termasuk Amerika Syarikat (AS) dan wira Perancis semasa perang Dunia Kedua, Charles de Gaulle yang pernah menjadi Presiden Perancis.

Agensi perisikan berkenaan turut memiliki pembelot pada peringkat awal penubuhannya apabila Harold "Kim" Philby yang dinaikkan pangkat sebagai ejen kanan MI6 didapati mengintip untuk USSR dan merupakan anggota rangkaian pengintipan Cambridge.

- AFP

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90