Top Ad 728x90

eBook bukan sekadar ringankan beg


Selepas bertahun-tahun isu beg sekolah berat menjadi perdebatan hangat dengan pelbagai resolusi dicadangkan belum ada penamatnya, apa yang telah dirintis oleh kerajaan Terengganu sejak tiga tahun lalu mungkin adalah jawapan terbaik.

Kerajaan Terengganu menyediakan komputer riba buku elektronik (eBook) percuma kepada pelajar sekolah rendah bagi menggantikan buku teks menjadikan mereka sebagai kumpulan eksperimental paling muda menggunakan teknologi terkini pembelajaran di sekolah.

Tanpa perlu membawa beg berat mahupun merugikan penggunaan kertas, pengenalan eBook seharusnya diakui sebagai satu inovasi dan lembaran baru dalam pendidikan negara. Sehingga kini dengan sistem pembelajaran yang dilihat semakin lancar, pelajar tahun 4, 5 dan 6 di Terengganu menggunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi itu.

Selain Terengganu, beberapa negeri seperti Melaka, Sarawak dan Brunei sudah pun memasang impian untuk menggunakan inovasi eBook di negeri masing-masing bagi memudahkan pelajar.

Penggunaan eBook yang semakin mendapat perhatian pelajar dan ibu bapa dijangka mampu menjadi revolusi dalam pendidikan negara.

Dengan permintaan yang semakin meningkat apabila ada ibu bapa yang tidak mahu terus menunggu atau mahukan anak-anak mereka turut memanfaatkan diri menggunakan teknologi eBook, Sutera Niaga Elit Sdn. Bhd. sedia menjual eBook secara komersial.

eBook model 2011

Pengurus Besarnya, Mohd. Rozali Masdol memberitahu, selaku ejen pemasaran dan pengedaran produk di bawah Koperasi Angkat Sekolah pihaknya turut melebarkan sayap ke seluruh negeri termasuk Brunei, memandangkan eBook mempunyai potensi yang tinggi dari aspek teknologi pendidikan.

Beliau yang ditemui di pejabat Kosmo! memberitahu, eBook terbaharu model 2011 lebih komprehensif dan canggih apabila ia didatangkan dengan pelbagai perisian yang dapat memanfaatkan pelajar dan guru. Peranti terkini itu juga boleh digunakan ibu bapa dengan mudah dan selesa.

“Dengan berat hanya 1.2 kilogram (kg) berbanding model terdahulu iaitu kira-kira 1.6 kg, model terbaharu ini dijangka mampu memberi keselesaan kepada pelajar yang dibebani buku teks berat, malah ia boleh di bawa ke mana-mana sahaja dengan mudah.

“Selain itu, eBook model 2011 yang menggunakan teknologi Intel Corp. mempunyai reka bentuk lebih menarik bersesuaian dengan gaya hidup pelajar serba canggih hari ini. Peranti generasi ketiga ini dilengkapi perisian buku teks tahun 4, 5 dan 6 untuk memastikan pelajar dapat mengikuti kelas dengan pantas,” katanya.

Mohd. Rozali menambah, eBook model 2011 turut didatangkan dengan perisian jaringan komuniti seperti al-Quran, fardu ain, amalan solat dan kamus. Malah, ia bukan sahaja boleh digunakan pelajar-pelajar, tetapi ibu bapa dapat menikmati kemudahan yang ditawarkan dalam peranti tersebut.

Ditanya mengenai kawalan dan pemantauan yang boleh dilakukan ibu bapa sekiranya eBook disalah guna oleh pelajar, Mohd. Rozali berkata, eBook telah dilengkapi perisian yang mempunyai kebolehan menyekat kanak-kanak atau pelajar daripada melayari laman web tertentu.

“Kemudahan ini disediakan untuk memastikan ibu bapa dapat memantau anak- anak mereka daripada melayari laman web yang tidak diingini. Selain itu, kita juga ada menyediakan perisian berkebolehan membantu ibu bapa merujuk kembali laman dilayari anak mereka. Jika ibu bapa mahu melayari laman web, mereka akan diberi kata kunci khas,” katanya merujuk kepada laman web seperti You Tube.

Sehingga kini, seramai 75,000 pelajar telah memanfaatkan kemudahan ini di Terengganu dan pendekatan itu mendapat minat khas daripada ibu bapa dipercayai menyumbang kepada penjualan komersial eBook kepada mereka.

Bahkan, eBook model 2011 juga akan dimanfaatkan oleh pelajar sekolah menengah hingga tingkatan 5.

“Bagi proses pembelian eBook, kami menyediakan dua pilihan kepada pengguna iaitu ansuran atau tunai melalui dua kategori pembeli iaitu kakitangan kerajaan dan swasta. Bagi bayaran ansuran kakitangan kerajaan, mereka boleh mengisi borang yang disediakan oleh syarikat kami untuk pemotongan gaji majikan kakitangan biro Angkasa.

“Bagi kakitangan swasta pula, ia boleh diuruskan melalui potongan gaji bank. Pilihan ini ditawarkan adalah untuk memudahkan lagi pengguna mendapatkan eBook terbaharu ini,” ujarnya.

Jelasnya, penjualan eBook juga menitik berat soal rangkaian dan sosial seperti penjual berhubung balik dengan ibu bapa jika terdapat masalah selain masalah penyelengaraan, rosak, terkena cecair atau pecah.

“Untuk itu, kami sediakan satu sistem jualan supaya pihak yang menjual selain Syarikat Sutera Niaga Elit mendapat komisen dan mempunyai hubungan baik dengan pembeli,” terang beliau.

Mohd. Rozali berkata Syarikat Sutera Elit Niaga percaya dengan kadar permintaan yang kian meningkat pihaknya dapat mencapai sasaran jualan sebanyak 90,000 unit eBook pada tahun ini dan 300,000 unit eBook pada tahun hadapan.

Sutera Niaga Elit menawarkan pakej belian eBook pada harga RM2,988 yang turut menawarkan jalur lebar Celcom percuma selama setahun selain langganan Tutor Utusan.

Pihaknya juga bersedia memasukkan portal-portal pendidikan yang lain seperti yang diminta ibu bapa pada harga maksimum RM2,988.

Untuk maklumat lanjut tentang urusan jual beli atau maklumat lanjut, sila hubungi Rozali di talian 019-7176 869 atau Nacoji Holdings di Taman Miharja, Kuala Lumpur.

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90