Cuepacs minta kerajaan naikkan umur persaraan - 60 tahun


Kerajaan diminta menaikkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun bagi 1.2 juta penjawat awam di Malaysia supaya seragam dengan amalan negara lain di rantau ini.

Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata sehingga kini, Malaysia masih ketinggalan di belakang negara jiran yang mempunyai umur persaraan antara 60 dan 62 tahun.

Beliau berkata sehubungan itu, Cuepacs berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, akan meluluskan cadangan itu dan mengumumkannya ketika pembentangan Bajet 2011 bulan depan.

"Kami telah meminta supaya umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun sejak beberapa tahun lalu, dan pada 2006, kami menyerahkan satu memorandum berhubung perkara itu, namun kerajaan hanya bersetuju menaikkannya sehingga 58 tahun.

"Justeru, kami harap kerajaan boleh mempertimbangkannya kerana ia satu opsyen dan bukan wajib, seperti juga apabila umur persaraan dinaikkan daripada 56 kepada 58 tahun, ia satu opsyen, bukannya automatik," katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Kerajaan juga, katanya, perlu memastikan bahawa umur persaraan di Malaysia seragam dengan apa yang diamalkan di negara jiran seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Umur persaraan bagi Thailand, Brunei dan Indonesia ialah 60 tahun, manakala di Singapura 62 tahun.

Kali terakhir isu mengenai umur persaraan dibangkitkan di negara ini ialah pada 2008, iaitu sebelum ia dinaikkan kepada 58 tahun.

Omar berkata, baru-baru ini, pemain industri perbankan tempatan telah bersetuju menaikkan umur persaraan pekerjanya dan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia masih mampu menyumbang kepada ekonomi negara meskipun umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun.

"Graduan baru atau mereka yang masih mempunyai tahun perkhidmatan yang panjang sebagai penjawat awam tidak perlu bimbang. Kita perlu bersikap terbuka kerana ia satu opsyen dan bukannya wajib," katanya.

Beliau berkata ini kerana kepakaran serta pengalaman penjawat awam masih diperlukan, dan dengan menaikkan umur persaraan, ia mampu memberi pilihan kepada mereka yang berpengalaman untuk terus berkhidmat kepada negara.

"Kami tidak pasti jika kerajaan akan menerima cadangan ini, namun kami berharap ia akan dipertimbang dan diputuskan secepat mungkin," katanya.

- Bernama
Next Post Previous Post
2 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Rabu, 15 September 2010 pada 11:55:00 PTG SGT

    Kurang setuju lah dengan cadangan ni. Masalah bagi mereka yang diambang nak pencen ni, kerja mereka macam ala kadar je. Takda semangat. Cuma mengharapkan gaji semata2.

    Maaf jika terasa. Saya meluah berdasarkan pengalaman. Berilah peluang untuk siswazah2 baru menceburinya plak. kesian siswazah sekarang sukar untuk mencari kerjaya gara2 pencen dilanjutkan//

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Khamis, 16 September 2010 pada 10:56:00 PG SGT

    Saya setuju juga dgn pendapat anon tu. Sy dlm usia 47 tahun berkira2 untuk pencen dalam usia 50. Tp, susah nak dapat pencen awal. Banyak proses yang kena dilalui. Majikanpun tak galakkan. Rugi, katanya. Jd, bagi la option pencen awal....

Add Comment
comment url