Pemasyhuran Tuanku Faris tak boleh dicabar


Pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru mulai kelmarin, tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah kerana dibuat berdasarkan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Shukri Mohamad, berkata urusan pelantikan dan pemasyhuran seseorang Sultan Kelantan dibuat mengikut kuasa ditetapkan dalam Perkara 6 Perlembagaan itu.
Beliau berkata, Perkara 6 menyatakan tiada sesiapa boleh dilantik dan disahkan menjadi Sultan Kelantan melainkan pelantikan dan pengesahan itu dibuat Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan.

“MPN Kelantan adalah badan diberi kuasa oleh undang-undang tubuh negeri Kelantan melantik dan memasyhurkan seorang Sultan mengikut undang-undang. Jadi, pemasyhuran ini tidak boleh dibawa ke mahkamah.

“Keputusan dibuat kerajaan negeri semalam (kelmarin) berdasarkan peruntukan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri dan ia adalah tepat serta sah di sisi undang-undang, malah daripada 17 anggota MPN, 15 yang hadir sebulat suara bersetuju dengan pemasyhuran itu,” katanya pada sidang media di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, di sini, semalam. Hadir sama, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.

Beliau merujuk laporan memetik kenyataan peguam Tetuan Rashid Zulkifli, yang mendakwa mewakili Tuanku Ismail Petra memfailkan dua petisyen mencabar pertabalan Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.
Shukri yang juga Ahli MPN Kelantan, berkata MPN berharap keputusan pemasyhuran ini menjadi titik penamat kepada segala krisis yang berlaku selama ini, jika ia dianggap sebagai krisis.

“Kita semua perlu kembali kepada peruntukan undang-undang sedia ada dan harus bersama mempertahankan institusi raja berperlembagaan yang diamalkan melalui sistem demokrasi berparlimen,” katanya.

Sumber dari Pejabat Peguam Negara pula berkata, pemasyhuran itu sah mengikut perundangan, malah kerajaan negeri atau Pusat juga tidak boleh campur tangan.

Katanya, berdasarkan pengamatan Pejabat Peguam Negara, segala prosedur perundangan yang diperlukan untuk mengisytihar Pemangku Raja sebagai Sultan Kelantan yang baru juga dipatuhi MPN.

Sementara itu, sumber Istana Kelantan memberitahu, Tuanku Ismail Petra akan mencabar keputusan MPN memasyhurkan Tuanku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru.

“Tuanku Ismail Petra tidak mengiktiraf, tidak akan membiarkan perkara itu berlaku dan akan menggunakan apa saja cara untuk mencabar keputusan itu. Baginda juga akan memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di mahkamah,” kata sumber itu lagi.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url