Guru sebagai cermin keperibadian murid
Malah, aspek melahirkan modal insan yang berkualiti itu menjadi agenda teras dalam RMK 9 dan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Hal itu menunjukkan betapa seriusnya negara dalam merencanakan barisan pelapis kepemimpinan dan warga kerja yang mampu menjana pembangunan negara ke arah pencapaian Wawasan 2020.
Peranan dan cabaran golongan pendidik pada masa mutakhir ini semakin ‘diasak’ dengan pelbagai isu yang diberikan penekanan dan perhatian wajar. Antaranya ialah gejala kes pelanggaran disiplin seperti ponteng sekolah, kejadian buli khususnya di asrama, biadab terhadap guru, perbuatan vandalisme yang menjijikkan mata memandang, memeras ugut pelajar junior, bergaduh dalam kawasan sekolah dan terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Semua isu ini perlu ditangani secara berkesan oleh sekolah kerana jika dibiarkan berterusan akan menjadi wabak yang membarah dalam kalangan anak muda kita.
Dengan demikian, peranan dan tanggungjawab semua guru mesti menjurus kepada pembinaan sahsiah pelajar yang murni dan bukan setakat menjadi penyampai ilmu pengetahuan saja. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah mengatakan, ‘guru bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid, tetapi bertanggungjawab juga kepada pembentukan peribadi murid iaitu nilai hidup yang dipegang dan budaya yang diterima olehnya.’ (Petikan ucapan beliau pada Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di Ipoh pada 16 Mei 2000 ). Jadi, di sini jelas menunjukkan kepada kita memang menjadi tanggungjawab teras seseorang guru itu membentuk jati diri anak muridnya dengan keluhuran budi pekerti yang tinggi dan terpuji.
Sebenarnya, teras utama dalam aspek pendidikan adalah untuk membimbing dan memberi pendidikan akhlak murni. Jadi, dalam apa jua mata pelajaran yang diajar oleh seseorang guru, penerapan nilai murni itu tidak boleh diabaikan. Ini yang dikatakan ‘nilai merentas kurikulum’. Malah, seseorang guru sepatutnya memahami dan menghayati sedalam-dalamnya tafsiran Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di negara kita selama ini.
FPK antara lain menyatakan, ‘Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Jika diteliti secara mendalam inti pati FPK itu, memang sudah lengkap dan tepat dalam usaha membina generasi warganegara yang seimbang dan mampu menjana keperkasaan tamadun bangsa serta negara.
Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman yang juga Presiden Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) menggariskan beberapa peranan yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang guru dalam merealisasikan FPK itu. Antaranya ialah guru bertindak sebagai pendakwah. Ini bermaksud guru bukan saja memainkan peranan sebagai pengajar, tetapi seharusnya mendidik anak didiknya dengan nilai akhlak mulia. Guru juga pendidik yang mendidik anak murid secara seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi.
Menurut beliau lagi, seseorang guru adalah pemimpin. Ertinya memimpin dan memandu pelajar menjalankan sesuatu tugasan dengan betul dan berkesan. Seterusnya guru adalah pekerja yang mematuhi segala etika profesion ke arah membina anak muridnya menepati acuan sebagaimana yang termaktub dalam FPK. Guru juga boleh dianggap sebagai seorang pengusaha. Dengan itu untuk memenuhi ciri pengusaha yang dinamik, guru perlu mempunyai kemahiran dan sentiasa berupaya berfikir secara inovatif dan kreatif. Contohnya, bagaimana seseorang guru itu berupaya menarik perhatian pelajar agar sentiasa menerapkan disiplin diri yang unggul dan mematuhi ajaran agama. Selain itu, seseorang guru juga mesti bersikap profesional dalam bekerja dengan menunjuk contoh yang baik dan memiliki sahsiah diri yang terpuji.
Ini penting kerana guru akan menjadi perhatian pelajar dan akan diikuti. Jangan pula seperti ‘ketam mengajar anaknya berjalan betul.’ Selain itu, menurut Dr Abdullah Sudin, seseorang guru mesti menjadi seorang pengikut yang baik. Ini bermaksud guru itu seharusnya taat dan mematuhi arahan ketua dalam melaksanakan sebarang tugasan dengan bersedia berkorban masa dan tenaga semaksimum boleh. Seterusnya guru juga berperanan sebagai seorang pejuang. Apakah maksud pejuang di sini? Tentulah perjuangan dalam menyempurnakan amanah negara dalam memberi pendidikan kepada anak bangsa dengan semangat waja dan tanpa putus asa.
Seseorang pejuang sudah tentu tidak boleh berputus asa apabila berhadapan dengan kesulitan. Begitulah dengan guru. Apapun cabaran dan kekangannya, tugas dan amanah mesti diteruskan dengan efektif. Pejuang juga mesti ikhlas dalam perjuangannya. Demikianlah juga dengan guru, mereka seharusnya ikhlas dalam melaksanakan tugas mendidik anak bangsa. Kata Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni, ‘ciri guru yang cemerlang ialah ikhlas mengajar ilmunya, memiliki tekad yang kuat untuk memberi manfaat yang terbaik untuk anak muridnya dan berusaha kuat menghantarkan mereka pada ketinggian darjat orang yang berilmu.’ Al Imam Al Ghazali pula ada mengatakan: ‘Guru perlu menanamkan niat mereka mengajar demi menyelamatkan anak muridnya daripada kesengsaraan di akhirat kelak.’
Hakikatnya seseorang guru sewajarnya mesti sedar dan insaf bahawa di bahu mereka terletaknya amanah Allah dan harapan negara dalam membina generasi insan yang berwibawa, berintelek tinggi, berakhlak mulia serta bersahsiah ‘towering personality.’ Ingatlah pendidik akan pesanan yang pernah diluahkan oleh Beecher, ‘kanak-kanak adalah umpama simen basah dan setiap orang yang jatuh ke atasnya akan memberi kesan kepadanya.’ Demikian juga guru seharusnya menghayati kata-kata daripada Mann Horace ini, ‘seseorang guru yang mengajar tanpa cuba menimbulkan dan menghidupkan keinginan serta semangat belajar dalam kalangan muridnya seperti orang yang menempa besi yang dingin.’ Selamat mendidik anak bangsa.
- HARIAN METRO