Pengaruh besar doa dalam kehidupan

Firman Allah SWT: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.

Doa adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon akan didengar Allah.

Allah SWT tidak suka kepada hambanya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya.

Hadis riwayat Tirmizi menyebut bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan.

Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, ternyata bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah sesuatu perkara dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang.

Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia akan sedar yang kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.

Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi meragui doa tidak dimakbul Allah SWT.

Bagaimanapun, riwayat Thabrani menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah memberi panduan kepada seorang sahabat, Saad Abi Waqas bahawasanya: “Wahai Saad, makanlah makanan yang baik (lagi halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan dikabulkan doanya selama 40 hari.
Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram maka neraka tempat layak untuknya.

Berdasarkan peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadat kepada Allah.

Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab-adab tertentu di mana berdasarkan rujukan al-Quran dan hadis, antara lain adab berdoa itu ialah:
1. Suci dari hadas besar dan kecil.

2. Menghadap ke arah kiblat dan dimulai dengan bacaan Surah al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat kepada Nabi Muhamad SAW.

3. Berdoa dengan ikhlas, suara yang perlahan, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu, dan yakin Allah akan memakbulkan doa sama ada cepat atau lambat.

4. Berdoa terus menerus sama ada ketika senang atau susah, dan tanpa putus asa.

5. Tidak melampaui batas ketika berdoa iaitu berdoa untuk meminta kebinasaan, mengakibatkan keburukan atau menginginkan kejahatan sehingga boleh memutuskan silaturahim, kerosakan harta benda dan kezaliman sesama umat Islam.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak-anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab.

Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka adalah doa orang yang berpuasa, doa pemerintah yang adil dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa-doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi. (Riwayat Tirmizi)

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url