Jobs DB sasar perolehan naik 30 peratus

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Pengendali laman web pekerjaan terbesar Asia Pasifik, Jobs DB Malaysia Sdn. Bhd. (JobsDB.com) menyasarkan sumbangan perolehannya dalam kumpulan meningkat sebanyak 30 peratus iaitu kira-kira HK$120 juta (RM48.2 juta) dalam tempoh dua tahun akan datang.

Perolehan kumpulan pada tahun lalu adalah HK$400 juta (RM160.5 juta).

Setakat ini, pihaknya hanya menyumbang sekitar lima hingga 10 peratus kepada perolehan Kumpulan.

Pengurus Besar JobsDB.com bahagian Malaysia, Jeffrey Goh berkata, perolehan syarikatnya pada tahun lalu adalah kira-kira RM20 juta dan disasarkan meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menurut beliau, sasaran itu dijangka dapat dicapai melalui pelbagai usaha syarikat termasuk mengadakan kerjasama pintar dengan rakan-rakan niaga yang lain.

''Kami bersikap selektif dalam pencarian rakan niaga bagi menjaga imej dan prestij JobsDB.com,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara JobsDB.com Malaysia dengan Persatuan Arkitek Perisian Antarabangsa (IASA).

Hadir pada majlis ialah Pengerusi dan Ketua Arkitek, ATD Solution (M) Sdn. Bhd., Aaron Tan Dani.

JobsDB.com Malaysia ditubuhkan pada tahun 1999 di bawah syarikat pengasas, JDB Holdings Ltd. yang berpangkalan di Hong Kong.

Perkhidmatan laman web pekerjaan itu diperkenalkan kali pertama di Hong Kong pada September 1998.

Selain Hong Kong, kumpulan menawarkan perkhidmatan di sembilan buah negara termasuk Australia, China, India, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

Kini, terdapat 1,800 kakitangan kumpulan di rantau Asia Pasifik dengan 14.6 juta pencari kerja menjadi ahli JobsDB.com.

Goh menambah, melalui kerjasama yang dibentuk melalui IASA, lebih ramai pencari kerja akan mendaftar dengan JobsDB.com.

Katanya, setakat ini, pencari kerja yang mendaftar di bawah JobsDB.com bahagian Malaysia adalah 650,000 orang dan 90 peratus daripadanya merupakan pemegang ijazah pertama dan ke atas.

Selain itu, jelasnya, latihan yang dijalankan memberi pengukuhan dalam operasi dan kedudukan syarikat-syarikat di Malaysia selain meningkatkan kepemimpinan dalam sumber manusia dan inisiatif perjawatan di Malaysia.

"Latihan hasil kerjasama IASA dan JobsDB.com akan meningkatkan perolehan syarikat berikutan latihan kemahiran dalam teknologi komunikasi dan maklumat yang berkesan,'' ujarnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url