Top Ad 728x90

,

Dr Mahathir sedih Melayu berpecah 3 puak

PASIR MAS: Tun Dr Mahathir Mohamad sedih kerana orang Melayu seolah tidak sedar mengenai ancaman dihadapi ketika ada pemimpin tertentu begitu ghairah untuk menguasai kerajaan.

Bekas Perdana Menteri juga sedih kerana orang Melayu sudah berpecah kepada tiga puak, tetapi tiada satu pun boleh memberikan kelebihan atau mempunyai jumlah peratusan yang boleh memberi kemenangan kepada bangsa itu.

“Sebab orang Melayu berpecah sekarang adalah kerana ada orang yang gila-gila nak jadi Perdana Menteri, tak peduli apa pun... dia sokong semua, semua yang bercorak perkauman,” katanya pada majlis Jemputan Terbuka Perhimpunan Melayu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Kelantan dekat Stesen Kereta api Pasir Mas, di sini, semalam.

Hadir sama, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali. Ia kunjungan pertama Dr Mahathir selepas insiden disembur cecair di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, empat tahun lalu.

Dr Mahathir juga tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila ada orang Melayu malu mengaku sebagai Melayu, selain sikap PAS yang menghalalkan semua perkara dilakukan rakan dalam pakatan pembangkang semata-mata mahu mendapat sokongan politik dan sanggup membuat peraturan baru semata-mata sehingga sanggup mengetepikan agama dan bangsa.

"Pemimpin mereka (rakan PAS dalam pakatan pembangkang) berkata 'langkah mayat mereka dulu', barulah Nik Aziz (Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat) boleh jadikan Malaysia sebagai negara Islam. Nampaknya sekarang Nik Aziz halalkan segala.

“Kalau nak ternak babi di tepi rumah orang Melayu pun boleh, tak mengapa sebab al-Quran tak pernah menghalang kita untuk tidak ternak babi, yang tak boleh hanya tak makan babi. Kerana nak halalkan juga perkara dibuat (rakan pakatan pembangkang), Nik Aziz sanggup buat peraturan baru berkenaan pantang larang orang Melayu dan orang Islam," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir mahu supaya semua pemimpin parti politik, UMNO, PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta badan bukan kerajaan (NGO), termasuk PERKASA insaf mengenai bahaya dihadapi orang Melayu dan bangsa itu perlu sedar, tidak berpecah belah serta tamak untuk mendapat jawatan sehingga menggadai kepentingan Melayu.

“Sepatutnya orang Melayu bersatu padu dan sokong apa yang baik bagi kaum mereka, bukan nak tolak kaum lain, bukan nak rampas (hak) kaum lain, hak kaum lain adalah hak mereka, tetapi hak orang Melayu mesti kekal sebagai hak orang Melayu... ini saja yang kita minta," katanya.

- BERITA MINGGU

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90