Pulangnya M. Rajoli yang penuh warna

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

Saya tidak pernah mengenalinya dari dekat tetapi diakui beliau mempunyai kemampuan lakonan yang hebat. Saya juga tidak pernah sekalipun berbual dengannya tetapi saya melihatnya mempunyai figura lelaki yang berupaya memberikan watak yang pelbagai di depan kamera.

Sama seperti kebanyakan orang lain, saya mengenali sang pemain ini menerusi drama dan filem. Beliau sang pemain yang menghidupkan sekian banyak watak; lelaki miang, tok imam, orang tua dan orang kampung yang bersemutar di kepala. Dalam dunia lakon, kita ketandusan pemain yang karismatik dan muncul di depan kamera dengan penuh kekaguman.

Sang pemain ini satu daripada sejumlah kecil yang mampu membuatkan kita yakin dengan permainannya di depan kamera. Penyumbang besar kepada kejayaan adalah berlakon dengan penuh sedar dan membezakan antara dunia realiti dan dunia lakonan. Lelaki ini mampu melakukannya tanpa mengorbankan nama baik semata-mata untuk menjadi pelakon yang berjaya.

M. Rajoli adalah senama dengan industri filem dan drama negara ini. Jumaat lalu M. Rajoli telah menghembuskan nafas terakhir pukul 10.45 malam di Hospital Ampang dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Keramat selepas Zuhur. Rajoli bertarung nyawa hampir dua tahun melawan penyakit ketumbuhan otak yang dihidapinya. Dalam permainan lakonnya, M. Rajoli sering tampil dengan watak komedi, khalayak selalu terhibur dan tidak kering gusi melayan lakonnya. Tetapi siapa tahu, realiti hidupnya tidak seperti keriangan yang terpancar dan dilihat orang.

Stigma

M. Rajoli atau nama sebenarnya Mohd. Rajab @ Mohd Ghazali bin Mohd Zain, 65 tahun anak kelahiran Kampung Kasar, Pasir Mas Kelantan mempunyai liku hidup yang menarik sebelum dikenali ramai. Siapa sangka bekas bilal Masjid Jamek Kampung Baru Kuala Lumpur pada awal 80-an akhirnya dikenali sebagai pelakon, satu kerjaya yang penuh stigma kepada banyak orang.

Apakah orang yang baik-baik tidak layak menjadi pelakon? Atau orang baik yang menjadi pelakon akan larut dalam satu cara hidup yang bertentangan dengan norma hidup? M. Rajoli membuktikan sama ada larut atau tidak terletak kepada keupayaan masing-masing. Kalau tidak kuat, larutlah pelakon dalam kancah kemilau dan mereka sudah tidak menjadi diri mereka sendiri.

M. Rajoli segelintir yang teguh dan kukuh pada akar jati diri. Pelakon ini memberikan contoh yang baik kepada sekian banyak pelakon-pelakon muda yang begitu mudah menghalalkan cara sekalipun bertentangan dengan norma budaya dan agama. M. Rajoli realistik kepada stigma seorang pelakon. Pada masa yang sama juga M. Rajoli berusaha membuktikan tidak semua pelakon adalah kelkatu malam yang mabuk di kemilau bintang.

Biarlah diingati sebagai lelaki hidung belang dalam filem dan drama. Biarlah juga dikecam kerana menjadi pemabuk dalam filem asalkan orang tidak akan menemui beliau mabuk di luar filem. Filem adalah realiti yang ditafsirkan tetapi kehidupan di luar filem adalah realiti yang mesti dijaga.

Kita tidak mempunyai banyak pelakon yang berwibawa. Yang banyak adalah pembaca skrip. Kepulangan M. Rajoli mengurangkan seorang pelakon kita yang berwibawa walau sekecil mana sekalipun wataknya, watak itu hidup di ingatan penonton. Misalnya watak tukang kebun tua dalam drama Tanah Kubur yang kecil melayakkan M. Rajoli dianugerahkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Skrin.

M. Rajoli mula berlakon apabila ditemui oleh pelakon Ed Osmera tahun 1982. Ketika itu pengarah filem Jins Shamsuddin sedang mencari pelakon yang boleh membaca talkin untuk penggambaran filem Esok Untuk Siapa.

Kemunculan yang kecil itu terus membawa M. Rajoli sebagai pelakon. Filem-filem lain lakonannya ialah Mekanik, Matinya Seorang Patriot, Anak Sulung Tujuh Keturunan, Pagar-Pagar Cinta, Diva Popular dan Cicakman. Sementara drama lakonannya yang banyak diperkatakan ialah Rabun arahan Yasmin Ahmad.

Pada awal 70-an, M. Rajoli pernah belajar agama di Pulau Pinang kemudian ke Pakistan. Semasa berhijrah ke Kuala Lumpur antara pekerjaan yang pernah dilakukan ialah penjaga lif di bangunan UMNO. Pengalaman yang dilalui termasuk pernah meringkuk tiga malam dalam lokap akibat meminjamkan motosikal kepada rakannya seorang kongsi gelap semasa remaja membantu M. Rajoli mengisi lakonannya.

Liku hidup yang penuh warna-warni itu menjadikan M. Rajoli sentiasa sedar. Kerana sedar, sepanjang menjadi selebriti yang sentiasa disinari kemilau M. Rajoli tidak pernah tersasar. Dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Wilayah Persekutuan di Pasar Budaya tahun 2008, M. Rajoli terjatuh ketika memberi ceramah.

Pelakon Zulkifli Ismail yang menjadi pengacara majlis itu memberitahu, beliau terpaksa memendekkan ceramah itu kerana M. Rajoli kelihatan terhoyong hayang. Kata Zulkifli, kerja berceramah bukanlah asing bagi M. Rajoli dan sangat dihormati oleh pelakon-pelakon lain semasa penggambaran.

"Allahyarham seorang yang suka buat lawak tetapi pelakon-pelakon lain sangat hormat kerana dalam lawak Allahyarham selalu selitkan pesan dan nasihat," kata Zulkifli yang beberapa kali berlakon dengan M. Rajoli.

Dalam mengenang kepulangan M. Rajoli, sebenarnya banyak yang boleh dipetik sebagai teladan. M. Rajoli meninggalkan satu landasan yang jernih dan terus berusaha untuk menjernihkan kekusutan apabila banyak pelakon-pelakon menganggap sebagai artis mereka boleh buat apa saja. Kerana itu walaupun tidak mengenali M. Rajoli dari dekat, saya ada kekaguman terhadapnya.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url