Blackberry Touch - Sistem operasi lebih efisien
Meneruskan kecemerlangan legasi telefon bimbit pintar BlackBerry, buat pertama kalinya, ia ditampilkan dalam reka bentuk gelongsor.
Dibawa oleh syarikat inovasi terkenal, Research In Motion (RIM), peranti selular yang dikenali sebagai BlackBerry Torch 9800 itu disempurnakan bersama kombinasi kawalan fungsi papan kekunci QWERTY dan juga skrin sentuh penuh.
Menerusi sistem operasi terbarunya, BlackBerry 6 pula, produk telekomunikasi itu bakal melengkapkan pelaksanaan aktiviti sama ada untuk tujuan sosial mahu pun bisnes.
Menurut Pengarah Urusan Asia Tenggara RIM, Gregory Wade, BlackBerry Torch disempurnakan dengan kelebihan reka bentuk menarik dan ciri spesifikasi yang dipertingkatkan.
''Produk ini turut menawarkan pengalaman operasi multimedia cemerlang selain kemudahan memuat turun pelbagai aplikasi kegemaran menerusi platform BlackBerry Application World.
''Sehingga hari ini, lebih 1.5 juta aplikasi telah di muat turun oleh para pengguna BlackBerry setip hari melalui platform ini,'' jelasnya pada majlis pelancaran model tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.
BlackBerry Torch dipacu menggunakan pemproses berkuasa 624 Mhz dengan memori flash 512 megabit (MB).
Keunikan spesifikasinya dapat dilihat menerusi kehadiran pad trek optik untuk navigasi lebih lancar dan cepat serta paparan skrin luas bersaiz 3.2 inci.
Dari segi memori, ia mempunyai ruang storan binaan dalam berkapasiti empat gigabit (GB) selain menyokong kad memori microSD dan SDHD sehingga 32 GB.
Bagi fungsi pengimejan pula, kameranya didatangkan bersama resolusi lima megapiksel, 11 mod rakaman, fungsi pemfokusan auto, penstabilan imej, geotagging dan rakaman video.
Sesuatu yang menarik mengenai sistem operasi BlackBerry 6, paparan antara mukanya lebih mudah dan diintegrasikan bersama beberapa capaian aplikasi seperti pesanan BlackBerry (BBM), Facebook, Twitter dan MySpace melalui fungsi Social Feeds.
Untuk kemudahan pelayaran, Torch 9800 mampu menyokong capaian akses laman web sehingga 14 muka secara serentak dengan fungsi pemfokusan boleh dijalankan hanya menerusi sentuhan skrin sebanyak dua kali.
Tidak cukup dengan itu, model ini turut didatangkan bersama fungsi pencarian universal untuk membolehkan pengguna mencari apa juga kandungan pada telefon bimbit pintar itu secara lebih cepat.
Pada pelancaran itu juga, pihak RIM turut mengumumkan Brightstar sebagai syarikat pengedar rasmi untuk produk BlackBerry di Malaysia.
Untuk itu, pengguna yang membeli mana-mana model telefon bimbit BlackBerry menerusi Brightstar akan mendapat jaminan perkhidmatan pelanggan selama 24 bulan.
Para pelanggan yang berminat untuk membuat tempahan awal bagi model BlackBerry Torch, sila layari laman web www.blackberry.com/my/torch
- UTUSAN MALAYSIA
BlackBerry Torch la, bukan Touch.