Banyak planet bersaiz Bumi


Satu daripada empat bintang yang serupa dengan matahari dalam galaksi Bima Sakti didapati menempatkan banyak planet-planet bersaiz Bumi, sekali gus mencadangkan bahawa sistem yang boleh menampung kehidupan seperti di Bumi mungkin lebih banyak terdapat berbanding jangkaan sebelum ini.

Satu kajian astronomi paling terperinci yang pernah dijalankan dan dibiayai Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Universiti California, Berkeley mendapati, planet-planet lebih kecil banyak terdapat berhampiran orbit bintang berbanding planet besar.

"Data tersebut menyatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 46 bilion planet bersaiz Bumi dalam galaksi kita daripada 200 bilion bintang, dan jumlah itu tidak termasuk planet-planet bersaiz Bumi yang mengorbit jauh daripada bintangnya dalam zon yang boleh didiami," kata penulis bersama kajian, Geoff Marcy.

Selama lima tahun kajian, pakar-pakar astronomi menggunakan Balai Cerap W.M. Keck di Hawaii untuk memantau 166 bintang seperti matahari berhampiran sistem solar untuk mengenal pasti planet-planet bersaiz tiga hingga 1,000 kali jisim Bumi.

Keputusan kajian mendapati, lebih banyak planet kecil ditemui berbanding planet besar.

"Kami mengkaji planet-planet dalam kumpulan yang besar, sama seperti mengira bongkah batu dan batu kerikil di gaung dan kami menemui lebih banyak batu sederhana berbanding bongkah batu besar serta lebih banyak batu kerikil berbanding batu sederhana.

"Teknologi yang kami gunakan tidak dapat melihat butiran pasir iaitu planet bersaiz Bumi, tetapi kami boleh anggarkan bilangannya. Planet bersaiz Bumi dalam galaksi umpama pasir di tepi pantai. Ia ada di mana-mana," kata Andrew Howard, ketua penulis kajian itu yang disiarkan hari ini di jurnal Sains.

Kajian itu turut mencadangkan bahawa planet-planet yang boleh didiami juga mungkin banyak terdapat dalam galaksi Bima Sakti.

Planet-planet yang lebih kecil itu boleh mengorbit jauh daripada bintangnya, membuatkan suhunya sesuai untuk kehidupan.

Berdasarkan data kajian yang diperoleh, pakar astronomi menganggarkan sebanyak 23 peratus daripada bintang seperti matahari dalam galaksi Bima sakti boleh menempatkan planet-planet lebih kecil yang bersaiz seperti Bumi.

- AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url