TV Alhijrah mula bersiaran di 5 lokasi transmisi

Stesen televisyen Islam pertama negara, TV Alhijrah berjaya memancarkan siaran ujiannya menerusi lima lokasi transmisi membabitkan Lembah Klang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak pada pelancarannya mulai 7 Disember 2010.

Orang ramai di negeri berkenaan kini boleh mengikuti siaran itu dengan menekan butang alat kawalan jauh pada gelombang UHF set televisyen masing-masing.

Bagi penonton di Lembah Klang, ia boleh diterima menerusi siaran CH55 pada frekuensi 743.25 MHZ, Pantai Timur (CH41:631.25MHZ), Johor (CH40:623.25MHZ), Sarawak (CH37:599.25MHZ) dan Sabah (CH37:599.25MHZ).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata bagi pelanggan stesen televisyen berbayar, ASTRO stesen itu masih dalam proses perbincangan dengan syarikat berkenaan bagi membolehkan saluran itu disenaraikan dalam perkhidmatannya.

Beliau berkata, satu badan panel pemantau syariah turut ditubuhkan bagi memantau perkembangan dan maklum balas program kendalian stesen TV yang menelan belanja RM60 juta itu.

“Panel pemantauan dipengerusikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor sudah ditubuhkan bagi memantau perkembangan program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

“Justeru, orang ramai boleh menyalurkan pandangan dan kritikan mengenai mutu perkhidmatan bagi meningkatkan komitmen penyiaran dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas melancarkan siaran percubaan itu.
Hadir sama, Dr Mohd Yusof yang juga Pengerusi Alhijrah Media Corporation dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bukhari Che Muda.

Laman Web Al-Hijrah TV : http://www.tvalhijrah.com

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url