Akta lindungi pemberi maklumat dikuat kuasa 15 Disember 2010

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini tidak perlu bimbang akan keselamatan mereka dengan berkuatkuasanya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 mulai 15 Disember ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, di bawah akta itu, setiap pemberi maklumat akan dilindungi.

Sehubungan itu, beliau percaya SPRM akan menerima peningkatan bilangan maklumat berhubung jenayah rasuah pada masa depan.

"Akta ini bertujuan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat atau pengadu dari segi kerahsiaan identitinya dan diberi imuniti daripada tindakan sivil atau jenayah.

"Saya jangka lebih ramai pemberi maklumat akan tampil membuat pendedahan tanpa rasa gentar," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran akta itu di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi rasuah, Datuk Hisham Nordin.

Pada majlis sama laman web rasmi NKRA bagi rasuah, www.nkra.gov.my turut dilancarkan.

Dalam pada itu, Vui Keong mengingatkan semua pihak bahawa bukan setiap maklumat dan aduan yang disalurkan dijamin akan disiasat, sebaliknya perlu diteliti terlebih dahulu untuk memastikan ia benar-benar berunsur rasuah atau penyelewengan sebelum kertas siasatan dibuka.

"Dalam banyak maklumat dan aduan, SPRM perlu membezakannya kerana dalam beribu-ribu aduan tidak semestinya semua adalah berkaitan rasuah," ujar beliau.

Akta Perlindungan Maklumat 2010 merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif di bawah NKRA dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk membanteras jenayah rasuah secara habis-habisan.

Pendekatan lain termasuk Pangkalan Data Pesalah 'Name and Shame' (Nama dan Malu), menjelaskan parameter surat sokongan, mendedahkan butiran kontrak perolehan kerajaan dan menyelesaikan pendakwaan kes rasuah dalam tempoh setahun.

Sementara itu, Hisham pula berharap akta tersebut akan dapat mengatasi kerumitan yang sering kali menyebabkan kegagalan pendakwaan iaitu saksi belot.

"Dengan adanya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 ini, identiti seseorang saksi itu tidak akan didedahkan walaupun dibicarakan di mahkamah," jelas beliau.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url