Palanivel ambil alih MIC dari Samy Vellu


Bermula sebagai pensyarah, pegawai penyelidik muzium, aktivis pengguna dan wartawan, Datuk G Palanivel, yang juga bekas Setiausaha Akhbar Datuk Seri S Samy Vellu, semalam mengambil alih kepemimpinan parti itu daripada mentornya.

Amanat pertamanya sebagai Presiden Kelapan MIC ialah untuk bekerja keras bagi memperkasa parti dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bekas Editor Berita Bernama itu menyuarakan kegembiraan dan penghargaan terhadap Samy Vellu kerana peralihan kuasa yang lancar.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri S Samy Vellu kerana sokongan dan kepemimpinan beliau kepada parti selama ini.

“Saya tidak sama dengan beliau (Samy Vellu)... Datuk Samy Vellu adalah Datuk Samy Vellu, beliau amat berbeza dengan saya... cara beliau dan saya juga berbeza. Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dalam satu pasukan untuk kuatkan parti ini,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu ketika ditemui di ibu pejabat MIC, semalam.

Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang, Palanivel mendapat pendidikan tinggi di Universiti Malaya dengan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1972.
Beliau kemudian bertugas sebagai pensyarah Ekonomi dan Sejarah di Maktab Kadir Adabi di Kuantan sebelum menjadi Pengarah Eksekutif Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Palanivel turut bertugas sebagai pegawai penyelidik di Muzium Negara (Projek Lembah Bujang) sebelum menyertai Bernama pada April 1977 dan dilantik sebagai Editor Berita Meja Ekonomi pada 1984.

Beliau menyertai MIC cawangan Jelutong, Pulau Pinang pada 1968 dan memegang pelbagai jawatan dalam MIC sebelum dipilih sebagai timbalan presiden pada 2006.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Palanivel yang menjadi wakil rakyat kawasan Hulu Selangor sejak 1990, tewas dengan majoriti 198 undi kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad (Allahyarham).

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC yang baru, Datuk Dr S Subramaniam berkata beliau bersedia bekerjasama dengan Palanivel dalam satu pasukan untuk memantapkan parti.

“Pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti (semalam), kita sebulat suara menyokong pelantikan Palanivel sebagai pemimpin nombor satu parti dan saya sebagai timbalannya,” katanya.

CWC sebulat suara sokong pelantikan presiden, timbalan


KUALA LUMPUR: Selepas 31 tahun dan dua bulan memimpin MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, 74, semalam berundur secara rasmi dengan menyerahkan tampuk kepemimpinan parti kepada anak didiknya yang juga Timbalan Presiden, Datuk G Palanivel.

Samy Vellu yang mengetuai MIC sejak 1979 dan lapan penggal menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974, turut mengumumkan pelantikan Naib Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam sebagai Timbalan Presiden parti yang baru menggantikan Palanivel.

Bercakap pada sidang media selepas kali terakhir mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) di Ibu Pejabat MIC, semalam, bekas Menteri Kerjaraya itu berkata, keputusan melantik Palanivel presiden kelapan parti dan Dr Subramaniam sebagai timbalannya dibuat CWC mengikut Artikel 63 Perlembagaan MIC.

Artikel itu menyebut: “Timbalan Presiden boleh, semasa ketiadaan presiden, bertindak bagi pihak presiden dan menjalankan tugas seperti biasa dilakukan presiden. Beliau akan mempengerusikan mesyuarat CWC semasa ketiadaan presiden.”

Pemimpin veteran itu berhadapan pelbagai cabaran sejak Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan MIC bukan saja mengalami kekalahan teruk, malah Samy Vellu sendiri tewas di kubu kuatnya di Sungai Siput.

“Pada hari ini (semalam), saya ingin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden MIC walaupun tempoh saya hanya berakhir pada Mac 2012. Saya mengambil keputusan ini untuk memberi laluan kepada pengganti saya melakukan persediaan secukupnya termasuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya sudah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada CWC dan ia berkuat kuasa serta-merta.

“Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli CWC, ketua bahagian, ketua cawangan dan akar umbi yang selama ini memberi kerjasama dan sokongan padu kepada saya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas segala bantuan, sokongan dan kerjasama diberikan kepada saya selama memimpin MIC,” katanya.

Samy Vellu yakin gandingan Palanivel dan Dr Subramaniam akan terus memperkukuhkan MIC demi kesejahteraan akar umbi parti dan masyarakat India.

Beliau juga akan tetap bersama parti dan meneruskan sumbangannya kepada masyarakat dan negara walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam MIC.

“Tidak sukar bagi saya melepaskan kuasa, saya cukup gembira kerana menyerahkan kuasa kepada Palanivel... saya mengosongkan fikiran saya 10 hari lalu kerana saya tahu masanya sudah tiba dan perlu ada perubahan dalam pucuk pimpinan,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url