Dasar beli buku terus dari penulis

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet dalam masa terdekat ini bagi melaksanakan semula dasar pembelian buku terus oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) daripada penulis-penulis tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, dasar itu pernah dilaksanakan pada 2006 dan 2007 namun, telah dihentikan buat masa ini.

“Ini langkah kementerian bagi membantu golongan penulis-penulis buku di negara kita yang begitu daif sekali,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku autobiografi The Times And Chimes of Joe Chelliah di sini hari ini.

Buku yang ditulis oleh pemuzik terkenal tanah air Joe Chelliah itu memaparkan kisah kehidupan dan perjalanan Joe sebagai seorang pemuzik sejak 1960-an.

Rais berkata, usaha melaksanakan semula dasar pembelian buku secara terus daripada penulis itu adalah bagi memastikan penulis tempatan tidak ketinggalan dalam membantu mempertingkatkan kualiti industri buku di negara ini.

Katanya, PNM sudah diminta untuk membuat beberapa rumusan bagi memudahkan kementerian terbabit memperoleh data yang lengkap tentang perkara itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, penulis-penulis tempatan perlu mencipta genre penulisan terutama dalam filem yang lebih kreatif dan berkualiti yang boleh dikategorikan sebagai produk kesusasteraan negara.

Ini kerana katanya, akhir-akhirnya ini banyak penulisan yang diterjemahkan kepada filem tidak mencapai tahap yang memberangsangkan dan boleh dianggap sebagai cereka biasa sahaja.

“Kita mahu penulisan-penulisan ini menjadi keseronokan kepada rakyat dan sebab itu kita sediakan dana yang relevan untuk dipohon mana-mana pihak yang ingin membuat filem berdasarkan penulisan kreatif,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai maklumat mengenai dua firma Malaysia terlibat dengan pembelian teknologi peluru berpandu dari China yang didedahkan melalui laman web Wikileaks, Rais berkata, perkara itu sedang disiasat pihak yang relevan iaitu Kementerian Dalam Negeri.

Kata beliau, kementeriannya tidak terlibat secara langsung dalam soal pemantauan maklumat itu selain daripada kerjasama yang diberikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan KDN bagi menyiasat dakwaan Wikileaks berhubung dua syarikat itu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url