Iktiraf gay umpama menggadai agama

Oleh Shamrahayu A Aziz
Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM

Lebih kurang sebulan lalu, seorang rakan yang juga pegawai kanan polis menyuarakan rasa geram terhadap panggilan telefon berulang kali dan beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai 'Gay Boy'. Saya membaca antara SMS 'Gay Boy' itu. Dia menyatakan minat untuk berhubungan dengan pegawai berpakaian seragam.

Rakan saya, dalam nada suara tinggi, melahirkan rasa terganggu terhadap panggilan dan SMS itu. Beliau juga melahirkan rasa ‘meluat’ terhadap ‘gay’. Saya cuma ketawa mendengar penegasan beliau. Saya fikir, walaupun ada golongan yang mengaku gay, mereka tidaklah sampai mengganggu orang lain.
Mulanya saya tidak memandang serius mengenai perkara ini dan menganggap perlakuan gay menelefon dan menghantar pesanan kepada rakan saya itu sesuatu yang terpencil.

Dalam ketawa, saya teringat rakan di pejabat peguam negara yang pernah menghubungi saya mengenai isu ini. Kami pernah berbincang mengenai isu ini dari sudut undang-undang secara tidak formal.

Rakan saya ini juga pernah bertanya mengenai sumbangan saya sebagai pensyarah dan penyelidik dalam menangani masalah LGBT (lesbian-gay-bisexsual-transgender) di negara kita.

Beliau juga memberi komen bahawa golongan ini semakin berani. Beliau menambah, mereka juga mendapat sokongan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang begitu giat berjuang untuk mencari dan mendapatkan hak kepada mereka.
Pengakuan seorang lelaki Melayu di youtube mengenai status seksualitinya membuatkan saya tertanya-tanya. Adakah anggapan pertama saya mengenai panggilan telefon dan SMS yang diterima rakan pegawai polis adalah sesuatu yang terpencil ini benar? Adakah komen rakan daripada pejabat peguam negara mengenai sokongan beberapa NGO yang bergiat mempromosi hak asasi golongan LGBT ini benar?

Untuk mencari jawapan, saya tonton youtube berkaitan dan saya layari laman web Seksualiti Merdeka dan beberapa lama web berkaitan yang lain. Saya dapati pelbagai hujah, pendapat, misi dan objektif golongan LGBT di Malaysia.

Pengakuan lelaki Melayu dan pengisian laman web itu mengubah persepsi asal saya. ‘Gay Boy’ bukan terpencil. Ia bukan rahsia. Ia juga mendapat sokongan sesetengah pejuang ‘hak asasi’ acuan Barat. Mereka juga berani dan tidak menghormati hak orang lain. Kedua-dua rakan saya benar.

Sebenarnya saya beberapa kali menegaskan pandangan mengenai isu hak asasi di ruangan ini. Sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan nilai moral, budaya dan agama, bukan hak asasi di negara ini. Ia adalah kepentingan peribadi yang tidak menghiraukan hak orang lain.

Perkara yang ada di fikiran saya ialah, adakah unsur kebebasan peribadi yang melampau seperti ini boleh menginap dengan selesa di dalam rangka sistem negara yang berpaksikan agama? Atau, adakah agama yang menjadi paksi sistem negara perlu diubah, dirobek dan dimusnahkan bagi membenarkan elemen asing ini menginap dengan selesa di sini?

Jawapan saya seperti berikut: Dari sudut agama, ia amat terang kemungkarannya. Masalah akan timbul sekiranya ajaran agama diketepikan. LGBT dalam konteks agama bukan sesuatu yang moden, ia adalah perbuatan kuno dan mereka adalah kaum yang dipupuskan Allah, The Perished Nation. Kita lihat ayat suci al-Quran berkaitan ini.

Dari sudut budaya dan amalan masyarakat, ia juga begitu terserlah terpesong. Ia songsang. Begitu juga dari sudut undang-undang. Ada pelbagai peruntukan yang menjadikan perbuatan LGBT sebagai kesalahan. Mungkin mendedahkan diri sebagai pengamal seks songsang ini juga adalah kesalahan.

Jadi, mungkin ada yang ingin memberi pandangan, apakah alasan paling jitu untuk kita mengiktiraf LGBT di sini? Saya tidak menemui jawapan lain, kecuali kebebasan peribadi tanpa sempadan.

Sebagai manusia, saya juga mempunyai perasaan simpati kepada mereka yang benar-benar mengalami masalah psikologi dalam menentukan status seksualiti. Mereka ini adalah pesakit yang memerlukan bantuan. Mereka berhak mendapat perkhidmatan kesihatan bagi memulihkan penyakit itu. Kita harus berbuat sesuatu untuk golongan ini.

Tetapi ini tidak harus dijadikan alasan untuk negara dan majoriti rakyat yang beragama mengiktiraf LGBT. Bagi mereka yang semata-mata memperjuangkan LGBT atas dasar hak kebebasan, mungkin mekanisme undang-undang perlu mengambil tempat.

Mungkin ada yang berhujah bahawa undang-undang kita harus berubah. Undang-undang harus menjadi dinamik dan mengikut peredaran global. Oleh itu, undang-undang harus mengiktiraf LGBT, seperti negara lain. Hujah sebegini tidak tepat di dalam konteks negara ini.

Kita mempunyai Islam sebagai agama negara. Kita juga mempunyai institusi agama yang tidak dipisahkan daripada negara. Undang-undang kita berasaskan agama.

Falsafah negara kita juga mengutamakan kesopanan dan kesusilaan. Wawasan negara, antara lain ialah untuk membina masyarakat yang bermoral dan berpegang teguh dalam nilai agama dan rohani yang paling tinggi.

Negara kita tidak seperti Barat yang memisahkan antara agama dan negara. Sekiranya mereka meletakkan agama sebagai perkara peribadi, itu tidak benar di dalam Islam dan ia tidak benar di negara ini.

Islam bukan saja menjelaskan hubungan peribadi seorang manusia dengan Pencipta, Islam juga menggariskan cara hidup tertentu kepada penganutnya. Perbuatan menolak agama dan menutup telinga terhadap hujah agama menjadi masalah utama.

Sekiranya perlakuan seperti ini diiktiraf negara, ia seumpama mengheret agama ke longkang dan membuangnya tanpa mengambil peduli. Falsafah negara yang kita bina selama ini juga akan tergadai dan menjadi sia-sia.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url