Geng curi motosikal Mudah.com tumpas

SERDANG: Polis Serdang berjaya membongkar kegiatan satu geng yang menjadikan laman sesawang sebagai tempat memasarkan komponen motosikal curi dengan tertangkapnya dua lelaki berusia 23 dan 24 tahun yang menjadi dalang utama kegiatan geng itu, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata geng yang dikenali sebagai Geng Mudah.com itu dipercayai bergiat aktif membeli motosikal curi sebelum mengiklankan komponen yang dileraikan melalui iklan di laman sesawang sejak dua tahun lalu.

“Kedua-dua suspek yang berasal dari Perak dan bekerja sebagai juruteknik komputer sebuah syarikat di Brickfields itu menjadikan rumah sewa dua tingkat mereka di Taman Sungai Besi Indah sebagai bengkel untuk meleraikan komponen motosikal.

“Kebanyakan motosikal itu dibeli dengan harga serendah RM1,500 dari geng curi motosikal yang aktif di sekitar kawasan Lembah Klang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Katanya, pada serbuan kira-kira jam 6 petang itu, polis turut merampas pelbagai jenis komponen dari 10 buah motosikal yang sudah siap dilerai-leraikan bernilai kira-kira RM15,000 serta empat buah motosikal.

“Geng ini bijak menggunakan pengetahuan mereka dalam bidang teknologi maklumat dengan menggunakan laman sesawang untuk menjual komponen motosikal curi dengan harga murah dan segala transaksi kewangan dilakukan secara atas talian.

“Pembeli kebiasaannya tertarik dengan harga murah yang ditawarkan dan membuat pesanan melalui nombor telefon yang disertakan pada iklan itu. Kemudian pembeli dikehendaki membuat bayaran di atas talian dan penghantaran barang dilakukan menggunakan pos,” kata Abd Razak.

Difahamkan, geng berkenaan memperoleh keuntungan hingga dua kali ganda daripada modal mereka membeli motosikal dicuri.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah dan tidak terbabit dengan dadah. Namun kita masih menyiasat saiz kumpulan ini dan kaitannya dengan aktiviti curi motosikal di sekitar daerah ini dan Lembah Klang.

“Kedua-dua suspek kini berada dalam tahanan reman hingga 24 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url