Keyakinan pengguna di negara ini kian kukuh

Prospek pekerjaan lebih baik dalam tempoh 12 bulan akan datang serta kedudukan kewangan peribadi lebih kukuh menyaksikan keyakinan pengguna di Malaysia pada suku keempat 2010 berada pada paras tertingginya sejak suku ketiga 2006, demikian mengikut kajian The Nielsen Company.

Firma penyelidikan pemasaran dan pengguna antarabangsa itu menerusi Kaji Selidik Pengguna Global Suku Keempat 2010, mendapati keyakinan pengguna di Malaysia yang diukur Indeks Keyakinan Pengguna Global mengukuh empat mata kepada 107 pada Disember 2010 berbanding 103 pada suku sama tahun sebelumnya.

Katanya, kajian itu juga mendapati keyakinan pengguna Malaysia adalah yang kesembilan tertinggi pada peringkat global bersama-sama Arab Saudi dan mendahului Sweden, Vietnam, Thailand, China, Hong Kong serta New Zealand.
“Peningkatan indeks pada suku keempat tahun lalu dipacu peningkatan sentimen pengguna berhubung prospek pekerjaan dan kedudukan kewangan masing-masing.

“Tujuh daripada 10 atau 70 peratus daripada pengguna Malaysia yang menyertai kaji selidik dalam talian menyatakan prospek pekerjaan adalah baik dan cemerlang bagi tempoh 12 bulan akan datang, peratusan tertinggi tahun lalu, meningkat daripada 63 peratus pada suku ketiga 2010.

“Pengguna Malaysia juga tersenarai di kedudukan keenam tertinggi pada peringkat global yang begitu yakin mengenai prospek pekerjaan. Angka purata bagi rantau Asia Pasifik adalah 55 peratus,” kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan Nielsen Malaysia, Kow Kuan Hua, berkata walaupun Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang sederhana, pada kadar 5.3 peratus pada suku ketiga 2010 berikutan permintaan luar yang perlahan, namun negara ini diunjurkan mencapai pertumbuhan antara enam dan tujuh peratus pada 2011," katanya.

"Kami yakin pertumbuhan sektor swasta kekal menggalakkan. Pengumuman angka ekonomi pada November lalu telah merangsang keyakinan pengguna di Malaysia, justeru menjana jangkaan positif mengenai prospek pekerjaan,” katanya.

Kuan Hau berkata, walaupun jumlah pengguna global yang bimbang mengenai kedudukan kewangan masing-masing meningkat kepada 14 peratus pada akhir 2010, namun kesannya adalah minimum di Malaysia.

“Sejumlah 63 peratus responden Malaysia menyatakan bahawa mereka positif mengenai kedudukan kewangan peribadi dalam tempoh 12 bulan akan datang. Pengukuhan ringgit juga meningkatkan kuasa beli mereka di luar negara atau menerusi internet.

“Ekonomi Malaysia telah beralih menjadi ekonomi yang dipacu pengguna secara berperingkat yang mana pengguna swasta menyumbang 54.4 peratus daripada keseluruhan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat 2010 dan ia akan kekal mendominasi,” katanya.

Namun, katanya, kaji selidik juga mendapati 51 peratus pengguna negara ini agak ragu-ragu berhubung pemulihan ekonomi.

Selain itu, katanya, 30 peratus daripada responden yang dikaji merasakan Malaysia masih dalam kemelesetan yang akan berlarutan untuk tempoh 12 bulan akan datang, lebih tinggi berbanding purata 23 peratus di negara Asia Pasifik lain.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url