Malaysia Airports kendali 34.3 juta Penumpang Di KLIA Pada 2010

Malaysia Airports mengendalikan 34.3 juta penumpang tahun lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), peningkatan kira-kira 14.8 peratus daripada 29.1 juta penumpang yang dicatatkan pada 2009.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasinya Datuk Azmi Murad berkata, pertumbuhan itu hampir berganda daripada apa yang dijangkakan oleh pengendali lapangan terbang itu bagi tahun tersebut, yang mana merupakan kira-kira lapan peratus.

"Kami melihat peningkatan dari segi kekerapan daripada syarikat penerbangan yang beroperasi ke KLIA, terutamanya dari Timur Tengah," kata Azmi, Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima pesawat baharu Boeing 737-800 Garuda Indonesia bagi operasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Azmi berkata Emirates, Qatar Airways dan Etihad Airways telah meningkatkan kekerapan mereka ke Malaysia sepanjang tahun lepas. Pada masa yang sama, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan Air Asia X juga menyumbang kepada pertumbuhan yang kukuh.

"AirAsia X menghubungkan penumpang dari Australia ke Terminal Penerbangan Tambang Murah sebelum memindahkan mereka ke Eropah," jelasnya.

Mengenai perkembangan lain, Azmi berkata iklim ekonomi global yang bertambah baik juga menyumbang kepada pertumbuhan penumpang di KLIA.

Pada 2006 KLIA disenaraikan sebagai lapangan terbang ke-13 paling sibuk di dunia dari segi trafik penumpang antarabangsa.

Bagi tahun ini, beliau berkata Malaysia Airports menyasar pertumbuhan tujuh peratus dalam pengendalian penumpang.

"Tahun ini, kami telahpun mempunyai satu syarikat penerbangan baharu, Firefly Jet. Hari ini, syarikat penerbangan itu memulakan operasi dari sini dengan dua penerbangan masing-masing ke Kuching dan Kota Kinabalu.

"Ini akan menjadi satu yang positif bagi kami. Kami menjangka menyaksikan bilangan penumpang yang bertambah menggunakan Firefly," katanya.

Mengulas mengenai Garuda Indonesia menggunakan pesawat generasi baharu Boeing 737-800 bagi operasinya ke Kuala Lumpur bermula hari ini, Azmi berkata:"Ia juga bakal menyumbang kepada peningkatan penumpang dari republik itu."

Menurut Malaysia Airports, ia menerima sejumlah 3,896,054 penumpang dari Indonesia tahun lepas, peningkatan 7.3 peratus dari 2009.

Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Garuda Indonesia, Don Jusuf Palito Bustan berkata, pesawat baharu itu yang akan meningkatkan kapasiti muatan sehingga 40 peratus, akan melipatgandakan bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan penerbangan di laluan permintaan tinggi ini.

"Potensi pasaran masih terbuka kepada kami. Kami melihat trafik yang menggalakkan. Itulah sebabnya mengapa kami menggunakan pesawat baharu ini," katanya.

Don Jusuf juga berkata syarikat penerbangan utama Indonesia itu bersiap sedia untuk memanfaatkan Polisi Langit Terbuka Asean yang berkuat kuasa pada 2015.

"Kami bukan hanya merancang meningkatkan kekerapan tetapi juga destinasi seperti dari Jakarta ke Pulau Pinang atau Medan ke Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, orang Medan selalu terbang ke Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan perubatan menggunakan syarikat penerbangan lain untuk pergi ke negeri tersebut.

Selain menggunakan pesawat lebih besar, Garuda Indonesia juga meningkatkan kekerapannya dari Jakarta kepada dua kali sehari daripada tiga kali seminggu sebelumnya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url